My Add

Thursday, 22 November 2012

Pegawai perwakilan pastikan hubungan dua hala utuh: Muhyiddin

ISLAMABAD, KHAMIS, 22 November, 2012: Pegawai perwakilan Malaysia di luar negara memainkan peranan penting dalam memastikan hubungan dua hala di antara Malaysia dan negara luar terus utuh bagi mencapai sasaran menjadi negara maju menjelang 2020, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Beliau berkata, hubungan dua hala itu dapat ditingkatkan dan dikukuhkan melalui peningkatan prestasi para perwakilan terutama daripada segi tahap kualiti kerja.

"Malaysia sudah menumpukan sepenuh masa dan tenaga untuk melihat betapa usaha transformasi yang laksanakan mencapai matlamatnya iaitu meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada 2020.

"Jadi, di semua peringkat kerajaan, sama ada di dalam atau di luar negara seperti kedutaan kita mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk menentukan sama ada matlamat yang kita cita-citakan ini akan tercapai dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berharap supaya hubungan dua hala Malaysia dan Pakistan dapat terus ditingkatkan dengan penubuhan kompleks itu.

"Harapan saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya hubungan kita dengan Pakistan bukan saja dapat ditingkatkan tapi hasil hubungan ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada rakyat kedua-dua belah negara.

"Saya juga berharap skop yang terjalin antara Malaysia dan Pakistan dapat terus dikembangkan, terutamanya dalam bidang perdagangan, pelaburan, perniagaan dan bidang-bidang yang lain, termasuklah pendidikan," katanya. 

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menandatangani plak perasmian kompleks itu sebelum dibawa melawat sekitar kompleks dan kuarters penginapan pegawai suruhanjaya.

Beliau kemudiannya ke Aiwan-e-Sadr untuk mengadiri sidang kemuncak ke-8 Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment