My Add

Friday 9 November 2012

Perompak doktor terima padah

 Kiri - Amirudin, kanan, Amjad Khan

Oleh ADHAM SHADAN
KOTA BHARU, KHAMIS, 08 November, 2012: Seorang lelaki menerima balasan setimpal apabila Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan dia dipenjara 16 tahun dan lima sebatan atas dua kesalahan merompak yang mana salah satunya melibatkan kenderaan pelbagai guna jenis Mitsubishi Grandis milik seorang doktor pakar.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd. Amirudin Deraman, 23, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Bagi tuduhan merompak Mitsubishi Grandis hingga mencederakan doktor pakar itu, Mohd. Amirudin dari Kampung Pintu Geng dihadapkan secara berseorangan manakala bagi satu lagi kesalahan rompak dia dihadapkan bersama rakannya dari Kampung Tanjung Mas, Mohamed Amjad Khan Kamarulzaman, 28.

Azman menjatuhkan hukuman lapan tahun dan lima sebatan ke atas Mohd. Amirudin bagi kesalahan merompak Mitsubishi Grandis milik Dr. Ida Zarina Zaini, 38, dan hukuman penjara lapan tahun ke atas Mohd. Amirudin dan Mohamed Amjad Khan bagi satu lagi kesalahan lain.

Azman memerintahkan hukuman ke atas Mohd. Amirudin dijalankan secara berasingan.

Mohd. Amirudin didakwa merompak kenderaan milik doktor pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian itu di Kubang Kerian, di sini pada pukul 7 pagi, 18 September lalu hingga mencederakan mangsa.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Kejadian yang menimpa Ida Zarina pernah disiarkan Kosmo! pada 20 September lalu. Laporan itu mengatakan mangsa cedera di kepala, tangan dan kaki akibat disamun tertuduh sebelum melarikan kenderaan itu.

Mitsubishi Grandis itu kemudian ditemui seminggu selepas kejadian setelah ditinggalkan di kawasan sebuah rumah di Kampung Padang Enggang, di sini.

Menurut fakta kes pula, kejadian itu disedari Ida Zarina selepas anaknya menjerit mengatakan kenderaan itu hendak dilarikan tertuduh.

Mangsa yang cuba menghalang kemudian terjatuh ke atas jalan tar menyebabkan dia cedera.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Amirudin dan Mohamed Amjad didakwa merompak beg tangan Noraida Zainuddin, 42, yang mengandungi barang kemas bernilai RM1,500, sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Ace dan wang RM300 di Pasir Hor, di sini pada pukul 8 pagi 11 Oktober lalu.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat. - Kosmo

No comments:

Post a Comment