My Add

Monday 26 November 2012

Pertahan landasan kemajuan negara
 
 *MUHYIDDIN Yassin menerima resolusi Mahasiswa Nasional 2012 daripada Pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Hafiz Ariffin (kiri) pada majlis Konvensyen Kepemimpinan Mahasiswa Nasional 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, AHAD, 25 November, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak terutama para pemimpin muda dan mahasiswa supaya mempertahankan landasan kemajuan negara yang dibina kerajaan selama ini agar tidak dirosakkan oleh pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana pihak pembangkang sentiasa mencari peluang untuk merosakkan usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini termasuk program transformasi dalam mencapai status negara maju menjelang 2020.

"Dalam program transformasi selama dua tahun ini kita sudah letak lokomotif di atas landasan kerajaan BN seperti dalam kerajaan, ekonomi, perundangan serta politik, namun ada pihak nak ia digelincirkan, dihala ke tempat lain dan menjunam jatuh ke gaung yang mengundang bahaya.

"Siapakah pihak ini? Sudah tentu pembangkang yang sentiasa berkempen dengan tohmah dan fitnah dan memperkatakan pelbagai perkara seolah-olah segala tindakan kerajaan tidak boleh mencapai matlamat yang kita tetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Konvensyen Kepemimpinan Mahasiswa Nasional 2012 bertemakan 'Transformasi Mahasiswa Memperkasa Bangsa' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Pengerusi Biro Kelab UMNO Luar Negara; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan 3,500 mahasiswa universiti serta kolej tempatan serta luar negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, gandingan mantap golongan mahasiswa dengan kerajaan selama ini perlu diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kerajaan amat memerlukan idea serta input mahasiswa dalam menggubal pelbagai dasar demi kepentingan semua pihak selari dengan usaha membangunkan negara.

"Pucuk pimpinan khasnya Perdana Menteri kita amat mengambil berat kepimpinan mahasiswa dan mahasiswa yang ada bakat kepimpinan baik, sahsiah mulia, ilmu tinggi serta daya intelektual mantap, maka anda mampu menerajui negara mencapai matlamat diidamkan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment