My Add

Friday 23 November 2012

Projek bernilai RM59 bilion sektor perkhidmatan dilulus

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 November, 2012: Jumlah pelaburan sektor perkhidmatan negara lebih baik tahun ini walaupun berdepan dengan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu apabila 2,379 projek bernilai RM59 bilion diluluskan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Tahun lepas, Malaysia merekodkan pelaburan sebanyak RM64.4 bilion, yang mana RM48.2 bilion daripadanya adalah pelaburan domestik dengan baki RM16.2 bilion dari pelabur asing.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, fokus agensi-agensi kerajaan yang tidak hanya menumpukan kepada usaha menarik pelaburan asing sudah membuahkan hasil.

“Agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini tidak hanya memfokuskan kepada pelaburan asing, malah memberi penekanan kepada pelaburan domestik," katanya semasa sidang akhbar selepas melancarkan buku panduan perkhidmatan dan merasmikan persidangan sektor perkhidmatan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi MIDA, Tan Sri Amirsham A. Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Noharuddin Nordin.

Menurut Mustapa, kekukuhan pelaburan domestik menjadi penampan yang baik kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Memang kita menghadapi cabaran disebabkan oleh faktor luaran tetapi jika kita lihat, ekonomi di rantau ini terutama di Asia Tenggara menunjukkan perkembangan pantas, begitu juga Malaysia.

“Ia disebabkan oleh faktor-faktor domestik yang boleh menjadi pengimbang kepada persekitaran ekonomi global yang tidak menentu," katanya.

Dalam pada itu, menurut Mustapa, Malaysia turut menggalakkan lebih banyak syarikat-syarikat multinasional untuk beroperasi di negara ini seperti membuka ibu pejabat operasi, pusat perolehan antarabangsa, pusat pengedaran serantau dan aktiviti penyumberan luar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment