My Add

Saturday 3 November 2012

Prosedur pendaftaran TASKA baru akan dikaji semula: Najib

KUANTAN, SABTU, 03 November, 2012: Kerajaan akan mempermudah dan mempercepatkan pendaftaran Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) baru, tanpa perlu mendapat kelulusan agensi teknikal terlebih dulu, jika mereka memenuhi standard minimum yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, melalui prosedur yang akan dikaji semula itu, ia akan dapat memastikan lebih banyak TASKA dibuka pada masa depan.

"Asalkan TASKA itu mengikut piawaian yang kita tentukan, maka luluslah pendaftarannya supaya lebih cepat pusat asuhan atau TASKA dapat beroperasi," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Program Astro 'Kasih Knowledge Zone' di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsom di Penor, dekat sini, hari ini.


Sebelum ini, pengusaha TASKA perlu mendapatkan kelulusan daripada agensi teknikal seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat terlebih dulu sebelum mereka didaftarkan oleh JKM.

Beliau berkata, melalui inisiatif itu, sebanyak 372 buah TASKA baru dapat didaftarkan yang akan menjadikan jumlah TASKA berdaftar sehingga kini sebanyak 1,767.

"Jumlah Taska itu akan memberi manfaat kepada hampir 53,000 kanak-kanak di seluruh negara yang mendapat perkhidmatan jagaan dan pendidikan awal yang berkualiti dan lebih sempurna," katanya.

Hadir sama pada majlis itu adalah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Astro, Tun Zaki Tun Azmi dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie.
Selain itu, katanya, kerajaan juga memperuntukkan RM10 juta kepada penyedia pusat pendidikan awal kanak-kanak bagi membuka TASKA baru yang berkualiti supaya semua kanak-kanak mendapat peluang membangun dengan kanak-kanak yang lebih bernasib baik.

"Melalui inisiatif ini, kerajaan menjangka dapat membantu penubuhan 1,000 buah TASKA baru dengan kadar RM10,000 bagi setiap TASKA yang akan memberi manfaat kepada hampir 30,000 kanak-kanak mulai tahun depan," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, melalui Program Astro Kasih Knowledge Zone itu pihak Astro membekalkan dekoder B-yond, pemasangan dan bayaran langganan bulanan pakej famili percuma kepada semua rumah kebajikan yang berdaftar dengan JKM.

“Astro juga akan menyediakan sudut serta bahan bacaan kepada 24 pusat kebajikan kanak-kanak di seluruh negara,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment