My Add

Friday 23 November 2012

Sedia pelan pembangunan Muar - Sultan

*SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan pingat Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I) kepada Tunku Abdul Jalil yang membawa gelaran Tunku Laksamana Johor pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-54 di Muar, Johor, semalam. - BERNAMA

MUAR, KHAMIS, 22 November, 2012: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta kerajaan negeri menyediakan pelan pembangunan Bandar Muar yang menyeluruh dengan mengekalkan bangunan yang bersejarah dan memanfaatkan kelebihan Sungai Muar.

Baginda bertitah, Bandar Muar merupakan satu kawasan yang kaya dengan kisah sejarah pentadbiran kerajaan dan pembangunan bandar itu yang tersusun telah bermula pada tahun 1880-an semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar.

Titah baginda, sejak diumumkan sebagai Bandar Maharani pada 1887, Muar telah menjadi satu kawasan kegiatan ekonomi utama di negeri ini dan kesan pembangunan itu dapat dilihat dengan banyaknya bangunan lama dan bersejarah di Muar seperti bangunan Sultan Abu Bakar.

"Beta memang kerap datang ke Muar kerana suka dengan keadaan dan suasana persekitarannya yang aman dan tenteram serta dilengkapi dengan Sungai Muar yang mengalir tenang.

"Beta dapat merasakan Bandar Muar ini mempunyai potensi besar untuk menjadi sebuah bandar yang membangun lebih maju," titah baginda dalam istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-54 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Ini merupakan julung kali istiadat itu diadakan di luar Johor Bahru.

Turut berangkat, isteri Sultan Johor Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda-anakanda Sultan Johor.

Dalam masa sama, baginda menggesa kerajaan negeri supaya memulihara bangunan lama dan bersejarah di Bandar Muar dan mewartakannya sebagai bangunan warisan.

Selain itu, baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana negeri Johor mengalami pembangunan yang pesat terutama di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang.

"Terima kasih beta ucapkan kepada kerajaan Persekutuan kerana membantu kerajaan negeri dalam membangunkan kawasan tersebut...Beta berharap agar kerajaan Persekutuan terus bekerjasama dan membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat Johor.

"Mungkin selepas ini kawasan Bandar Muar pula menjadi kawasan pembangunan baru dengan mengggunakan kelebihan yang ada pada Sungai Muar," titah baginda.

Baginda turut meminta supaya kerajaan memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dalam mengagihkan kontrak kerja di negeri ini.

Selain itu, Sultan Ibrahim juga mengingatkan rakyat supaya bersikap sederhana dan mengukuhkan perpaduan kaum serta keharmonian masyarakat selain mengamalkan sikap tolak ansur kerana ia penting dalam persekitaran hidup bermasyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Sempena hari keputeraan baginda, seramai 404 menerima darjah kebesaran dan pingat dengan puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, mengetuai senarai penerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DKI). — BERNAMA

No comments:

Post a Comment