My Add

Wednesday 14 November 2012

Sokongan kaum India meningkat

KUALA LUMPUR, SELASA, 13 November, 2012:.Sokongan masyarakat India terhadap MIC dan Barisan Nasional (BN) semakin meningkat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berkata, buktinya berdasarkan sokongan ditunjukkan oleh masyarakat India apabila ribuan yang hadir dalam program-program anjuran parti itu dan BN seperti Sambutan Rumah Terbuka Deepavali hari ini.

Beliau yakin, sokongan masyarakat India telah kembali kepada BN dan jumlah itu semakin meningkat hampir di semua kawasan.

"Saya yakin berdasarkan sambutan ditunjukkan oleh masyarakat India dalam majlis atau program yang diadakan BN serta MIC, sokongan mereka terhadap kerajaan sedia ada semakin meningkat.

“Setiap kali kita anjurkan program, beribu yang hadir untuk turut serta seperti pada hari ini, lebih 10,000 hadir. Masyarakat India hari ini telah kembali menyokong BN dan sokongan terhadap pihak pembangkang pula semakin berkurangan," katanya ketika ditemui sempena majlis anjuran MIC tersebut di Batu Caves, dekat sini.

Yang turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim serta pemimpin-pemimpin komponen BN.

Mengulas langkah kerajaan untuk membatalkan projek pembinaan kondominium 29 tingkat berhampiran kuil Batu Caves sekiranya BN mengambil alih Selangor pada pilihan raya umum nanti, Palanivel memberitahu, masyarakat India menyambut baik usaha tersebut.

Katanya, kerajaan Selangor yang ditadbir Parti Keadilan Rakyat (PKR) seharusnya memansuhkan projek itu kerana menjejaskan kuil di Batu Caves.

“Ramai masyarakat India yang membantah projek tersebut dan mereka menyambut baik ketegasan Perdana Menteri untuk membatalkannya apabila BN merampas semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

“Projek ini amat bahaya kerana dibina di kawasan berbukit serta berhampiran dengan kuil Batu Caves. Kami khuatir dalam jangka masa panjang, kondominium yang dibina boleh runtuh," jelasnya.

Dalam pada itu, Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu, langkah untuk menjadikan kompleks Batu Caves sebagai Tapak Warisan Dunia disambut baik oleh seluruh masyarakat India dan berharap dapat dilaksanakan seperti dijanjikan pada 2015. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment