My Add

Friday 4 January 2013

9 April bagi pengurusan kes rayuan penulis terhadap pengharaman buku

PUTRAJAYA, JUMAAT, 04 Januari, 2013: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 9 April bagi pengurusan kes rayuan oleh penulis dan penerbit buku 'The March to Putrajaya - Malaysia's New Era Is At Hand' berhubung keputusan Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan dan merampas 33 naskhah buku berkenaan.

Panel tiga anggota yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali menetapkan tarikh itu bagi pengurusan kes selepas membenarkan permohonan Yong Thye Chong dan Oriengroup Sdn Bhd untuk penangguhan pendengaran rayuan mereka yang ditetapkan pada hari ini.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Aziah Ali.

Peguam K.Shanmuga, yang mewakili Yong, memohon supaya pendengaran itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan dalam dua lagi kes pengharaman buku yang masih belum selesai di Mahkamah Persekutuan, iaitu di peringkat memohon kebenaran merayu.

Peguam Kanan Persekutuan Noor Hisham Ismail tidak membantah permohonan itu.

Pada 14 Julai, 2011, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Yong dan Oriengroup untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan dan merampas buku berkenaan.

Mereka memohon perisytiharan bahawa tindakan merampas buku berkenaan pada 19 Ogos 2010 adalah tidak sah dan mahu Menteri dalam Negeri menarik balik pengharaman itu. 

Yong, 74, yang menggunakan nama pena Kim Quek, diwakili peguam Shanmuga dan Edmund Bon. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment