My Add

Saturday 5 January 2013

Banteras Amanat Haji Hadi

Oleh HUSSAINI AMRAN

 *MUHYIDDIN Yassin diiringi Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bersalam dengan jemaah sejurus menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mukhlisin Taman Alam Damai Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 04 Januari, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Amanat Haji Hadi perlu dibanteras kerana jelas terbukti telah menimbulkan banyak masalah dan perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, amanat tersebut yang hangat dibincangkan oleh pihak media kebelakangan ini bukan soal politik tetapi sebenarnya berkaitan isu agama.

Menurut beliau, semangat perpaduan umat Islam ketika ini sentiasa dicabar oleh pihak-pihak yang menggunakan agama untuk memecahbelahkan mereka.

"Ada fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu dan parti-parti politik tidak mendukung perjuangan kerajaan pada hari ini, mengeluarkan pelbagai kenyataan yang kadang-kadang menimbulkan perbalahan, malahan perpecahan.

"Hal ini haruslah dibanteras dan cara untuk mengatasinya ialah dengan memperkukuhkan kefahaman kita tentang Islam yang sebenar agar akidah tidak diselewengkan oleh kelompok-kelompok dan puak-puak yang sebenarnya mempergunakan agama untuk tujuan politik mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jamuan Tengah Hari Bersama Rakyat di pekarangan Masjid Al-Mukhlisin, Taman Alam Damai, Cheras di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Mukhlisin, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 orang dan mendengar khutbah bertajuk 'Tekad dan Azam ke Arah Kecemerlangan' yang disampaikan Jamil Khir.

Amanat Haji Hadi yang diucapkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol Peradong, Terengganu pada 7 April 1981 telah mengakibatkan ramai ahli dan penyokong Pas mengkafirkan UMNO.

Muhyiddin memberitahu, banyak amalan yang tidak selaras dengan tuntutan agama dilakukan oleh puak terbabit ekoran mengikut sahaja tanpa usul periksa.

"Mereka mungkin telah tersalah ikut dan kita harus mengembalikan mereka ke jalan sebenar," ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, usaha memperkukuhkan jemaah dan perpaduan sesama umat Islam adalah penting bagi mendukung asas-asas pembangunan dan transformasi yang dipelopori kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita memerlukan hubungan yang akrab, rapi dan kukuh untuk membolehkan kita memikul tugas dan tanggungjawab itu," jelasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyokong permohonan Jawatankuasa Masjid Al-Mukhlisin untuk membina sebuah dewan serbaguna di dalam kawasan masjid berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment