My Add

Saturday 5 January 2013

Kerajaan ikrar pertahan masa depan ATM, bekas perajurit dan negara

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 04 Januari, 2013: Kerajaan berikrar akan mempertahankan masa depan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bekas perajurit serta kedaulatan negara demi memastikan kemerdekaan yang dinikmati berkekalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, agenda untuk mempertahan maruah ATM, bekas perajurit dan kedaulatan negara itu tidak pernah terpisah daripada perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pada masa yang sama, beliau memberi ingatan kepada semua pihak bahawa tiada sebarang jaminan masa depan ATM, kebajikan bekas perajurit serta maruah Malaysia akan terus dipertahankan jika pembangkang mengambil alih kerajaan.

"Siapa boleh jamin masa depan kita? Siapa boleh jamin kelangsungan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)? Kita (BN) akan mempertahan masa depan dan maruah ATM, bekas-bekas perajurit negara serta kedaulatan negara ini. Puak belah sana (pembangkang) belum pasti.

"Kita mengambil semangat Harimau Malaya, kita genggam semangat anggota Force 136 sebab ini masa depan untuk kita semua," katanya ketika berucap merasmikan majlis makan malam sempena Persidangan Perwakilan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Ke-87 di sini malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin serta Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani.

Sempena majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) bernilai RM1,000 seorang kepada 14 penerima pertama yang mewakili 14 buah negeri.

Menerusi Bajet 2013 lalu, kerajaan bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1,000 secara sekali gus kepada 224,000 veteran tentera yang bersara awal serta tidak berpencen sebagai menghargai jasa mereka mempertahan kedaulatan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, perjuangan kerajaan membangunkan negara menjadi lebih mudah kerana bekas tentera bijak menilai dan terus meletakkan kepimpinan kerajaan yang terbukti sudah berjaya pada tempat sewajarnya.

Beliau menambah, sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, sudah tentu perjuangan BN untuk membina negara bangsa yang dihormati, disegani serta berjaya sebagaimana telah dibuktikan sehingga kini.

"Inilah perjuangan kita yang tidak pernah takut kepada apa jua ancaman seperti mana semangat perwira setiap anggota tentera dalam memacu Malaysia muncul sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan nikmatnya meliputi semua lapisan masyarakat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment