My Add

Sunday 27 January 2013

Jepun mahu tarik pelancong Malaysia

 KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Januari, 2013: Industri pelancongan Jepun mahu menarik pelancong Muslim dan Malaysia sebagai satu daripada negara dengan potensi terbesar, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura.

Beliau berkata, Jepun mencatatkan pertumbuhan baik daripada segi ketibaan pelawat dari Malaysia, terutamanya dengan pelaksanaan visa kemasukan pelbagai untuk rakyat Malaysia ke Jepun, pada September tahun lalu.

"Dari Januari hingga November tahun lalu, ketibaan rakyat Malaysia di Jepun berjumlah kira-kira 113,100, meningkat 16.5 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

"Promosi pelancongan antara Jepun dan Malaysia akan menyumbang dan meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat," katanya kepada BERNAMA.

Nakamura berkata, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan menganjurkan lawatan teknikal ke Jepun dari 29 Januari hingga 3 Februari depan.

Beliau berkata, sempena lawatan itu, Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO) akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MATTA di Yokohama Khamis ini.

MoU itu bagi menjalin kerjasama dan pertukaran idea bagi kemasukan pelancong antara Malaysia dan Jepun. 

"Saya berharap MoU itu akan memberikan momentum tambahan kepada kerjasama pelancongan antara Malaysia dan Jepun yang dapat memberi promosi lebih baik terhadap industri pelancongan Jepun," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment