My Add

Friday 11 January 2013

Kajian: Populariti Najib susut sedikit

SHAH ALAM, KHAMIS, 10 Januari, 2013: Sementara ramai meramalkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dipanggil Mac ini, populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengalami peningkatan kecil Oktober lalu merosot semula bulan Disember, demikian menurut kajian terbaru Merdeka Center.

Hasil kajian firma itu, yang dikeluarkan petang ini, menunjukkan populariti beliau susut daripada 65 peratus pada bulan Oktober kepada 63 peratus bulan lalu.

Sebelum ini, beberapa penganalisis melihat kadar dalam lingkungan itu masih tinggi bagi seorang perdana menteri di negara ini.

Najib, yang juga Presiden Umno, akan mengetuai Barisan Nasional (BN) menghadapi PRU13, yang pertama sejak beliau dilantik sebagai perdana menteri pada April 2009. Mandat BN memerintah Kerajaan Pusat hanya akan berakhir 28 April ini.

Pada Februari lalu, Najib menikmati populariti 69 peratus dan ia kekal semasa kajian dua bulan kemudian. Bagaimanapun, ia merosot kepada 65 peratus pada Mei dan menurun satu tangga kepda 64 peratus pada Jun, tetapi mengalami kenaikan kecil kepada 65 peratus Oktober lalu.

Dalam kenyataannya, Merdeka Center berkata, populariti Najib masih kekal kukuh di kalangan pengundi kaum Melayu dan India, masing-masing 77 dan 76 peratus, tetapi merosot kepada 34 peratus di kalangan masyarakat Cina.

Pada Oktober lalu, 46 peratus pengundi Cina berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri berbanding hanya 34 peratus Disember lalu. Paras 34 peratus itu lebih rendah berbanding 37 peratus pada Mei lalu.

Populariti Najib di kalangan pengundi Melayu meningkat dua tangga daripada 75 peratus kepada 77 peratus manakala di kalangan pengundi India pula ia mengalami kenaikan daripada 68 peratus kepada 76 peratus.

Merdeka Center juga berkata, kajian kali ini, yang dikendalikan antara 15 dan 28 Disember lalu di kalangan pengundi di Semenanjung, juga mendapati perbezaan yang ketara dalam pandangan diutarakan oleh golongan muda berbanding pengundi yang sudah berusia, lelaki berbanding golongan wanita, malah pengundi berpendapatan rendah berbanding mereka dalam kumpulan berpendapatan pertengahan atau tinggi.

Kajian ini dikendalikan dua minggu selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2012. Seramai 1,018 pengundi masing-masing 59 peratus Melayu, 32 peratus (Cina) dan sembilan peratus (India) ditemu bual.

Kajian kali ini menunjukkan bahawa persepsi pengundi ke atas kerajaan kekal 'muram' dengan 45 peratus responden mengatakan mereka tidak "gembira dengan kerajaan."

Berkenaan persepsi ke atas Barisan Nasional, 47 peratus responden mengatakan mereka "gembira" dengan perikatan itu.

Mengikut pecahan berdasarkan kaum, 67 peratus responden Melayu mengatakan mereka gembira dengan kerajaan, hanya enam peratus (Cina) dan 35 peratus (India).

Dari segi jantina pula, 51 peratus responden wanita gembira dengan kerajaan berbanding 39 peratus responden lelaki.

Dari segi responden mengikut pendapatan, 66 peratus responden di bawah RM1,500 gembira dengan kerajaan, 47 peratus (RM1,501 hingga RM3,000), 36 peratus (RM3,001 hingga RM5,000) dan 35 peratus (melebihi RM5,001). - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment