My Add

Wednesday 2 January 2013

Lebih 5,000 belia daftar untuk rebat RM200

CYBERJAYA, RABU, 02 Januari, 2013: Hampir 5,500 orang belia yang berumur dari 21 hingga 30 tahun telah mendaftar setakat pukul 7 malam semalam untuk mendapatkan rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia (PKB) untuk pembelian telefon pintar peringkat permulaan pada hari pertama pendaftarannya dibuka.

Bilangan pendaftaran terus meningkat ketika kenyataan ini dikeluarkan.

Skim PKB dilaksanakan oleh tujuh syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Clixster, DiGi, Maxis, Tune Talk, U Mobile dan YTL Communications dengan koordinasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kami bersyukur dan gembira dengan sokongan yang diberikan orang ramai terhadap skim ini. Sambutan menggalakkan ini menunjukkan bahawa masyarakat, khususnya golongan belia, bersedia bergerak dalam zaman ICT dan menerima baik perkembangan teknologi dunia Internet," kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Menurut beliau, kesan daripada sambutan yang menggalakkan itu laman sesawang PKB iaitu komunikasibelia.skmm.gov.my dan nbi.skmm.gov.my telah mengalami sedikit gangguan kesesakan sejak ia dibuka mulai pukul 7 pagi tadi.

SKMM meminta orang ramai yang masih mencuba untuk mengakses laman sesawang tersebut agar bersabar.

Masalah itu sedang ditangani oleh pasukan teknikal dan SKMM amat menghargai kesabaran orang ramai dan memohon maaf di atas kesulitan yang dialami. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment