My Add

Thursday 24 January 2013

Mesir pelawa Petronas kerjasama dengan EPC



*NAJIB bersama Hesham Qandil menyaksikan pertukaran dokumen semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Komprehensif Kerjasama Ekonomi di antara Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pembuatan dan Komersial Mesir, Hatem Saleh (kanan) dalam lawatan kerja ke Mesir, semalam.

KAHERAH, RABU, 23 Januari, 2013: Kerajaan Mesir mencadangkan syarikat minyak negara itu, Egypt Petrolium Company (EPC) dan Petronas bekerjasama menubuhkan konsortium bagi mencari peluang mencari gali gas dan minyak di benua Afrika.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, cadangan itu dikemukakan oleh Perdana Menteri Mesir, Dr. Hesham Muhammad Qandil dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin di sini hari ini.

Menurut beliau, Mesir memandang tinggi keupayaan Petronas sebagai sebuah syarikat yang berjaya dan mereka ingin mencontohi kejayaan Petronas.

"Ia adalah cadangan yang sangat menarik dan saya akan membincangkannya dengan pihak Petronas apabila pulang ke tanah air nanti," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan tiga hari beliau ke Mesir dan Gaza.

Selain itu kata Najib, Mesir juga mengemukakan beberapa cadangan termasuk meminta Proton mengadakan kerjasama dengan syarikat milik kerajaan (GLC) Mesir untuk memasang kereta di sini.

Beliau berkata, turut dibincangkan dengan Dr. Hesham adalah kemungkinan syarikat-syarikat Malaysia melabur di kawasan Zon Ekonomi Khas sekitar Terusan Suez.

"Saya berharap syarikat swasta Malaysia akan melihat peluang yang ada di Mesir bagi mereka melakukan pelaburan ketika Mesir sedang menyusun ekonominya berikutan apa yang berlaku sebelum ini," katanya.

Mengenai pelajar Malaysia, Najib berkata, Dr. Hesham mahu mereka lebih banyak bergaul dengan pelajar tempatan.

"Ini ada kaitan dengan tahap penguasaan bahasa Arab yang lemah dalam kalangan pelajar kita dan tahap kelulusan yang belum memuaskan lagi.

"Salah satu caranya bagi mengatasi masalah ini ialah pelajar-pelajar kita tidak menganggap mereka berada di Malaysia dalam segi pergaulan," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir, Mohamed Morsi, beliau menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan Mesir kerana membantu menjayakan lawatan kemanusiaan ke Gaza.

"Lawatan itu tidak mungkin dapat dilakukan tanpa Mesir membantu menguruskan segala kebenaran laluan dan logistik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment