Najib bertemu pemimpin Eropah di WEF
DAVOS, RABU, 23 Januari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin negara Eropah dan ahli perniagaan dunia ketika menghadiri Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini, selama empat hari, bermula hari ini.
Najib yang tiba lewat petang ini di Zurich akan memulakan lawatan kerjanya ke Switzerland esok dengan jadual pertama beliau adalah mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Ukraine, Viktor F. Yanukovych.
Duta Malaysia ke Switzerland, Datuk Ho May Yong berkata, Perdana Menteri juga akan mengadakan mesyuarat bilateral dengan rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte dan kunjungan hormat ke atas Presiden Switzerland, Ueli Maurer sepanjang berada di sini.
Kehadiran Perdana Menteri pada persidangan ini amat bermakna kerana ia akan menjadi wadah kepada Malaysia untuk mempromosikan negara sebagai destinasi pelaburan dan juga pelancongan," katanya dalam sidang akhbar kepada wartawan Malaysia di sini malam semalam.
Selain bertemu para pemimpin negara dan ahli perniagaan, Najib yang pertama kali menghadiri WEF sebagai Perdana Menteri mempunyai jadual ketat sepanjang berada di bandar peranginan musim sejuk ini.
May Yong berkata, Perdana Menteri hadir ke mesyuarat kali ini atas jemputan Pengerusi Eksekutif WEF, Prof. Klaus Schwab bagi berkongsi maklumat mengenai kemajuan ekonomi negara, terutama mengenai pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara.
WEF adalah mesyuarat yang menemukan pelbagai pemimpin negara dan syarikat terkenal dunia bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan ekonomi dunia semasa.
Acara tahun ini, yang bertemakan Resilient Dynamism akan dijadikan wadah bagi Malaysia menghebahkan pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan dan peluang-peluang ekonomi yang ditawarkan meskipun terdapat kemelesetan ekonomi yang melanda dunia.
Perdana Menteri dijadual mengambil bahagian dalam beberapa sesi mesyuarat, termasuk satu sesi interaksi membincangkan kesan-kesan kemelesetan ekonomi dan ancamannya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment