My Add

Saturday 26 January 2013

MPM anjur majlis Istighasah al-Qubra di Masjid Putra

PUTRAJAYA, SABTU, 26 Januari, 2013: Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini menganjurkan majlis Istighasah al-Qubra atau Penyatuan Ummah di Masjid Putra di sini, bertujuan memohon perlindungan Allah SWT dalam bentuk zikir dan doa beramai-ramai bagi mengelakkan negara dan rakyat daripada ditimpa bala bencana.

Majlis bermula 4 pagi itu dimulai dengan pengisian program seperti solat sunat tahajud, solat hajat, solat witir, solat subuh, tazkirah dan zikir munajat Istighasah.

Lebih 1,000 umat Islam menyertai majlis itu yang berlangsung hampir empat jam. Majlis peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan itu dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj).

Setiausaha Agung MPM, Dr Hasan Mat, berkata program itu akan diperluaskan ke beberapa negeri dalam masa terdekat antaranya Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

Beliau berharap lebih ramai umat Islam tanpa mengira kedudukan dan fahaman politik menyertai majlis penyatuan ummah sedemikian demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.

"Majlis seumpama ini baik untuk umat Islam supaya mengetepikan perbezaan ideologi politik. Jangan kerana isu politik kita berpecah-belah dan berbalah," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Katanya, masjid negeri, daerah dan masjid di kawasan perumahan lain di seluruh negara juga dialu-alukan menganjurkan majlis Istighasah al-Qubra demi perpaduan ummah. 

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur majlis Istighasah al-Qubra, Datuk Seri Isahak Yeop Mohd Shar, berkata usaha menyatukan ummah melalui majlis seumpama ini adalah sesuatu yang istimewa berbanding dengan menganjurkan perhimpunan.

"Dalam majlis ini kita berdoa dan bermunajat supaya umat Islam seluruh negara berkasih sayang, bersatu padu dan terus berjuang demi kepentingan agama, bangsa dan negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment