My Add

Saturday 26 January 2013

Penduduk Bukit Kepong gembira lawatan TPM



*MUHYIDDIN beramah mesra dengan penduduk suku Temuan dari Kampung Bukit Pajang ketika menghadiri majlis minum pagi dan ramah mesra bersama rakyat di Kampung Sawah Laku, Bukit Kepong dekat Pagoh, semalam.

PAGOH, JUMAAT, 25 Januari, 2013: Lebih 1,000 penduduk di tiga buah kampung di mukim Bukit Kepong dekat sini menerima berita gembira sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke kampung mereka.

Ini kerana Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan kelulusan untuk pelaksanaan beberapa projek pembangunan yang berjumlah RM24 juta.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh meluangkan masa lebih sejam dalam pertemuan ramah mesra secara santai selain bersarapan bersama penduduk Kampung Sawah Laku, Kampung Raja dan Kampung Bukit Bendar.

Dalam ucapannya, Muhyiddin mengumumkan peruntukan tersebut membabitkan pembinaan dewan orang ramai yang melibatkan kos sehingga RM4 juta, baik pulih jalan (RM20 juta) dan sebuah balai raya untuk kegunaan masyarakat Orang Asli (RM120,000).

"Saya akan meminta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor meneliti kos baik pulih jalan sepanjang 20 kilometer dari simpang Bukit Kepong ke Maokil yang rosak dan dianggarkan melibatkan kos RM20 juta.

"Bagi dewan orang ramai, tanah seluas 2.8 hektar akan diambil untuk pembinaan bangunan itu yang bakal digunakan bagi perjumpaan penduduk, kenduri kahwin dan pelbagai lagi aktiviti bermanfaat," katanya ketika berucap dalam program yang diadakan di Balairaya Kampung Sawah Laku dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat.

Muhyiddin turut mengumumkan pembinaan sebuah balai raya bernilai RM120,000 untuk masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Panjang dekat sini.

Salah seorang hadirin, Wardinah Md. Som, 71, terharu dengan kesudian Muhyiddin melawat kawasan pedalaman itu dan menyambut baik projek pembangunan yang diumumkan.

"Kami percaya Muhyiddin dan kerajaan dapat membantu semua lapisan masyarakat. Kerajaan sebelum ini banyak menghulurkan bantuan kepada rakyat dan saya sendiri turut menikmati bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya ibu tunggal warga emas itu ketika ditemui.

Bagi Rosiah Mat Jani, 59, dia berasa sangat gembira dan bangga dengan kehadiran pemimpin nombor dua negara itu ke kampung berkenaan selain turut serta bergotong-royong dengan penduduk kampung dalam melakukan persiapan.

"Sebagai penduduk jati kawasan Bukit Kepong, saya berharap beliau tidak melupakan kami dan membantu masyarakat setempat dalam memajukan lagi kawasan ini pada masa akan datang seperti yang sudah dilakukan sebelum ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment