Pengguna masih kabur mekanisme rebat telefon 3G
KUALA LUMPUR, SELASA, 01 Januari, 2013: Mekanisme pemberian rebat RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G masih kabur dan mengelirukan orang ramai khususnya golongan sasaran iaitu belia berumur 21 hingga 30 tahun.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Bukit Bintang di sini yang menjadi lokasi utama penjualan telefon berkenaan mendapati rata-rata jurujual serta pemilik kedai telefon bimbit juga tidak tahu mengenai pemberian rebat tersebut.
Lebih mengelirukan, ada dalam kalangan penjual atau pengusaha kedai telefon mudah alih di kawasan itu memberitahu bahawa pembeli perlu mendaftar dan membeli secara terus dalam talian, bukannya di kedai-kedai telefon.
Seorang pekerja swasta, Muhammad Taufiq Abdul Khalid, 25, yang ditemui berkata, perincian terhadap pemberian rebat itu masih kabur kerana pembeli tidak tahu senarai penjual atau pengedar yang berdaftar.
"Maklumat yang disampaikan tidak jelas, pembeli tidak tahu bagaimana mahu mendapatkan rebat tersebut. Selain itu, had kepada telefon mudah alih 3G terpilih berharga sehingga RM500 juga tidak sesuai dengan senario hari ini kerana tidak banyak aplikasi yang mesra dengan golongan belia.
"Pengguna khususnya belia bukan menggunakan telefon pintar semata-mata untuk membuat panggilan dan membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi juga untuk akses internet. Wajar diperluaskan kepada telefon berharga RM1,000 ke bawah," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2013 September lalu, mengumumkan pemberian rebat RM200 secara one-off bagi golongan belia membeli satu unit telefon mudah alih pintar 3G bertujuan membuka akses maklumat kepada mereka.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini pula memberitahu bahawa golongan muda yang layak mendapat rebat tersebut boleh membeli telefon pintar 3G terpilih berharga sehingga RM500 dari penjual atau pengedar yang berdaftar.
Seorang lagi pekerja swasta, Shuhada Endut, 25, pula berkata, kerajaan sewajarnya tidak mengehadkan harga telefon mudah alih 3G tersebut memandangkan pengeluarannya adalah seiring dengan perkembangan semasa.
"Hari ini kalau kita lihat murid sekolah rendah pun menggunakan telefon 3G yang canggih. Selain itu, jenis telefon berkenaan juga jangan dihadkan dan terbuka kepada pelbagai jenis," ujarnya.
Ainul Shamsul Azmin Jamaludin, 23, juga bersetuju sekiranya harga telefon mudah alih 3G yang menerima rebat RM200 ditingkatkan dan jenis produk diperluaskan.
"Sekarang kalau kita teliti, telefon mudah alih 3G yang berharga RM500 ke bawah tidak menepati selera pengguna dalam kalangan belia. Kalau ditingkatkan kepada RM1,000, kami ada lebih banyak pilihan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment