My Add

Wednesday, 2 January 2013

CAP gesa SKMM siasat segera

GEORGETOWN, SELASA, 01 Januari, 2013: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan segera berhubung masalah talian terputus yang sering dialami pengguna ketika berbual.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, masalah talian terputus juga dilaporkan berlaku ketika bukan waktu puncak dan pada waktu dinihari hingga menyebabkan pelanggan terpaksa menanggung kerugian.

Katanya, CAP juga mahu mendapatkan penjelasan daripada pihak berkenaan berhubung masalah itu.

"Apabila panggilan daripada telefon bimbit terputus secara tiba-tiba disebabkan masalah teknikal, ia dianggap sebagai talian terputus yang mana panggilan mungkin dibuat dalam tempoh masa 30 saat atau 60 saat.

"Oleh itu, apabila sesuatu panggilan tiba-tiba terputus, pemanggil akan kehilangan tempoh masa yang sudah dikenakan caj ke atasnya dan ia menyebabkan kerugian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Idris berkata, pelanggan juga kurang senang dengan masalah yang timbul kerana terpaksa mendail semula untuk penyambung panggilan mereka.

"Biasanya ini akan diikuti dengan ucapan kata maaf kepada pihak yang dibuat panggilan dan selanjutnya perbualan bermula sekali lagi dan cajnya mungkin terus meningkat," katanya.

Katanya, CAP berharap masalah itu dapat diselesaikan segera kerana syarikat telekomunikasi yang memperoleh keuntungan daripada pelanggan yang mengalami masalah berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment