My Add

Sunday 27 January 2013

Raja Muda Perlis harap alumni UniMAP sumbang kepakaran dan idea

KANGAR, AHAD, 27 Januari, 2013: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyumbang kepakaran dan idea untuk pembangunan universiti itu dan negara.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP bertitah alumni bukan sekadar aset intelektual universiti tetapi juga menjadi harapan bangsa dan negara.

“Alumni juga perlu membantu meluaskan jaringan perhubungan antara pihak universiti, majikan dan masyarakat,” titah baginda pada majlis makan malam anugerah Tokoh Alumni UniMAP 2013 di Putrajaya, malam tadi.

Menurut siaran media UniMAP di sini, hari ini, baginda berharap UniMAP mengenal pasti semua alumni yang berjaya dalam bidang masing-masing kerana mereka bukan sekadar "benih" terbaik universiti itu tetapi juga menjadi contoh terbaik untuk pelajar baru.

Pada majlis itu, baginda turut melancarkan logo persatuan itu dan mengurniakan anugerah kepada tiga tokoh alumni UniMAP 2013 iaitu Izzat Rosli bagi sektor industri, Sardin Rohseli (pengurusan dan keusahawanan) dan Dr Mohd Faizal Jamlos (akademik).

Turut hadir ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Naib Canselor UniMAP, Prof Dato Dr Kamarudin Husin dan Pengerusi Persatuan Alumni UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil Al-Attas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment