My Add

Tuesday 1 January 2013

Rakyat diseru kekalkan perpaduan dan keamanan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 31 Disember, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan, keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi agar negara terus berada dalam landasan kukuh untuk muncul sebagai negara maju.

Jelasnya, tempoh tujuh tahun yang tinggal untuk mencapai Wawasan 2020, menyaksikan negara terus kukuh menerusi pertumbuhan ekonomi yang membawa limpahan nikmat kepada rakyat.

"Alhamdulillah, hasil transformasi berterusan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan berkat perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara kita, Malaysia kini berada di atas landasan yang kukuh untuk muncul sebagai sebuah negara maju.

"Kekalkanlah perpaduan, keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi hari ini sebagai landasan untuk kita membina kejayaan yang lebih gemilang pada hari esok.

"Insya-Allah, dengan sokongan dan dokongan seluruh rakyat, dengan doa dan keazaman kita untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan, kita akan melakar masa depan bersama yang lebih sejahtera di bumi Malaysia yang kita cintai ini," katanya ketika berucap pada sambutan Ambang Tahun Baharu 2013 di Dataran Merdeka di sini malam ini.

Sambutan yang begitu meriah dengan pertunjukan bunga api berwarna-warni serta persembahan artis tempatan itu dibanjiri ribuan rakyat Malaysia yang berkongsi kegembiraan meraikan kehadiran tahun baharu.

Yang turut hadir, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim serta barisan kepimpinan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment