My Add

Wednesday 16 January 2013

Rakyat perlu faham larangan bawa kanak-kanak

KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Januari, 2013: Orang awam perlu memahami Akta Perhimpunan Aman 2012 yang jelas melarang mana-mana pihak 'mengheret' kanak-kanak dalam sesuatu perhimpunan.

Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata, ini kerana kanak-kanak berisiko tinggi untuk mendapat kemalangan jika sesuatu perhimpunan aman itu bertukar sebaliknya.

Malah jelasnya, selain akta berkenaan, Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak serta Akta Kanak-Kanak 2001 turut menyentuh larangan membawa golongan itu dalam perhimpunan atau protes jalanan.

"Kalau berlaku rusuhan, tiada siapa yang dapat melindungi kanak-kanak. Dalam sesuatu perhimpunan atau protes jalanan, kita jangka peserta akan bersorak atau memberikan ekspresi serta menyeru kepada perkara-perkara tertentu.

"Sehubungan itu, jika bawa kanak-kanak sangat berisiko tinggi. Oleh sebab demikianlah undang-undang tidak membenarkan kanak-kanak menyertai perhimpunan," katanya

Beliau berkata demikian ketika pembentangan kertas kerja bertajuk Akta Perhimpunan Aman: Melangkah ke Hadapan sempena Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi di sini hari ini.

Tun Abdul Majid berkata, selain larangan membawa kanak-kanak, orang awam juga perlu faham mengapa undang-undang negara tidak membenarkan mana-mana pihak mengadakan protes jalanan.

Ujarnya, ini berdasarkan kepada pengalaman peristiwa 1969 termasuk beberapa keganasan dalam protes jalanan lain serta perhimpunan haram Bersih 3.0 tahun lalu.

"Di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), polis juga menahan sesiapa yang mengadakan protes jalanan kerana berlakunya keganasan. Oleh itu, tidak ada mana-mana negara yang mahukan keganasan.

"Begitu juga di negara ini. Kita menolak keganasan. Namun, untuk masa depan, saya tidak tahu. Kalau masyarakat semakin matang, mungkin kerajaan akan membenarkannya," jelas beliau.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab berhubung perbezaan membawa kanak-kanak dalam satu majlis rakyat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Semenyih pada hari yang sama dengan himpunan pembangkang di Stadium Merdeka, beliau berkata, itu bukanlah majlis yang dijangka akan berlaku keganasan.

"Majlis itu dibenarkan kerajaan dan tidak berisiko kepada kanak-kanak, tetapi himpunan di Stadium Merdeka ada satu tujuan dan memberikan ekspresi-ekspresi tertentu, selain berisiko kepada kanak-kanak, sebab itu kita tak benarkan himpunan itu melibatkan kanak-kanak," tegasnya.

Kepada soalan lain berhubung kesalahan fitnah yang dianggap rakyat tidak memperuntukkan hukuman berat, katanya, itu telah termaktub di dalam kesalahan jenayah dan pesalah boleh dijatuhkan hukuman penjara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment