My Add

Saturday 5 January 2013

Utusan khas Jepun ke Seoul

TOKYO, JUMAAT, 04 Januari, 2013: Perdana Menteri Jepun yang baru, Shinzo Abe hari ini menghantar seorang utusan khas ke Seoul, Korea Selatan, dalam usaha memperbaiki hubungan kedua negara berhubung satu pertikaian wilayah.

Ahli Parlimen veteran yang juga bekas Menteri Kewangan Jepun, Fukushiro Nukaga meninggalkan lapangan terbang antarabangsa Nukaga menuju ibu negara Korea Selatan bagi membawa mesej Abe kepada Presiden, Park Geun-hye.

''Ekoran Jepun dan Korea Selatan kini mempunyai kerajaan baharu, saya mahu memainkan peranan sebagai pengantara supaya tahun ini akan menjadi lebih baik kepada kedua-dua negara.

''Abe percaya bahawa hubungan Jepun dan Korea Selatan perlu lebih kukuh bagi kestabilan Asia Timur,'' kata Nukaga kepada pemberita di lapangan terbang.

Abe yang mengambil alih tampuk pemerintahan Jepun Disember lalu merancang untuk menghantar utusan ke Korea Selatan, namun terpaksa ditunda ekoran jadual padat Geun-hye.

Pertikaian wilayah meletus tahun lalu ekoran lawatan mengejut Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak ke Pulau Dokdo yang dikenali di Jepun sebagai Takeshima.

Ia terus mengakibatkan pertikaian antara kedua-dua negara dengan Seoul menuduh Tokyo yang pernah menjajah negara itu sebagai tidak pernah menyesali perangai semasa perang dahulu.

Tokyo berharap penghantaran utusan itu akan membawa kepada permulaan baharu kedua-dua negara khasnya di bawah pemimpin yang baharu sahaja dilantik dan pada masa sama, pelancaran roket jarak jauh Korea Utara bulan lalu turut meningkatkan kebimbangan keselamatan serantau. - AFP

No comments:

Post a Comment