My Add

Saturday 5 January 2013

Pelabur China minat Iskandar

JOHOR BAHARU, JUMAAT, 04 Januari, 2013: Lebih banyak syarikat dari China dijangka melabur di Iskandar Malaysia, terutamanya di dalam sektor hartanah di dalam tempoh terdekat ini, demikian menurut Dewan Perniagaan dan Industri Cina Johor Baharu hari ini.

Presidennya, Datuk Soh Poh Seng berkata, beliau dimaklumkan banyak dalam kalangan syarikat-syarikat dari China itu akan membuat pelaburan di Iskandar Malaysia di dalam tempoh dua tahun ini.

"Mereka (pelabur China) sememangnya mempunyai pengetahuan yang amat tinggi tentang potensi Iskandar Malaysia. Banyak dalam kalangan mereka sedang membuat persiapan untuk memasuki pasaran koridor ekonomi itu," katanya kepada Bernama di sini.

Ketika ini, katanya, sudah terdapat pelabur-pelabur hartanah dari China yang membeli lot-lot tanah seluas antara 40 hektar hingga 80 hektar di beberapa kawasan di Iskandar Malaysia.

Katanya, kemasukan lebih banyak pelabur dari China akan membantu wilayah pembangunan yang dilancar pada 2006 itu mencapai matlamat jangka panjangnya.

"Iskandar Malaysia sudah mencapai kemajuan dan ia bertambah maju dengan kemasukan pelabur-pelabur China," katanya, sambil menyatakan bahawa Iskandar Malaysia merupakan koridor ekonomi paling berjaya berbanding koridor-koridor ekonomi negara yang lain.

Selain sektor hartanah, pelabur China menurut Soh, turut menceburi sektor pembuatan di Iskandar Malaysia.

Sejak akhir-akhir ini, kawasan itu telah berjaya menarik beberapa pelaburan besar dari syarikat China seperti pelaburan RM900 juta dari Country Garden Holdings Co Ltd di Iskandar Waterfront.

Menurut Forbes, syarikat itu merupakan antara 50 syarikat terbesar di Asia.

Selain itu, pada Disember tahun lepas, UEM Land Holdings telah menandatangani perjanjian dengan Chinamall Holdings Pte. Ltd. untuk membangunkan pusat pameran dan perdagangan bernilai RM562 juta di Nusajaya.

Iskandar Investment Berhad (IIB), yang bertanggung jawab membangunkan Medini, Nusajaya juga telah menandatangani perjanjian dengan pelabur hartanah daripada China.

Ia termasuk perjanjian pemaju hartanah China, Zhuoda Real Estate Group untuk membangunkan projek komersial dan perumahan bercampur yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.5 bilion.

Walaupun Iskandar Malaysia semakin menerima minat dan perhatian negara luar dengan peningkatan pelabur asing membeli hartanah di koridor ekonomi itu, beliau meminta supaya pihak berkuasa tidak melupakan pelabur-pelabur tempatan.

"Pelabur-pelabur tempatan juga perlu diberikan peluang (di Iskandar Malaysia)," kata Soh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment