My Add

Sunday, 24 November 2013

DAP nafi hak saya untuk bertanding - David Dass

SEREMBAN, SABTU, 23 November, 2013: Belum pun sahih kedudukan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, parti itu bakal berdepan pula dengan kontroversi pemilihan peringkat negeri yang akan diadakan sebelum akhir tahun ini.

Antaranya ialah pemilihan di Negeri Sembilan yang dijadualkan pada pukul 2 petang, Sabtu depan di sebuah hotel di Taman AST dekat sini.

Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, A. David Dass berkata, sehingga kini, cawangannya masih belum menerima surat yang memaklumkan mengenai pemilihan tersebut.

Katanya, pemilihan minggu depan itu bercanggah dengan perlembagaan DAP yang menetapkan tempoh tidak kurang daripada lapan minggu untuk berbuat demikian.

"Surat yang dihantar kepada setiap cawangan perlu disertakan dengan borang pencalonan bagi membolehkan cawangan berkenaan berpeluang meletakkan calon mereka bagi jawatankuasa peringkat negeri.

"Kegagalan menghantar surat itu telah menyebabkan saya terlepas peluang untuk bertanding bagi jawatankuasa tersebut sekali gus menafikan hak saya sebagai ahli parti.

"Sebelum ini saya berharap dapat bertanding pada pemilihan peringkat negeri yang sudah pun tertangguh selama dua tahun tetapi nampaknya mereka buat semua ini secara rahsia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, beliau tahu sekurang-kurangnya tiga daripada lebih 50 cawangan DAP di negeri ini tidak menerima surat jemputan itu dan percaya beberapa cawangan yang dianggap tidak sehaluan dengan kepimpinan parti juga menerima nasib yang sama.

Tambahnya, sekiranya masalah itu tidak diselesaikan segera, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain daripada melaporkan perkara itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) minggu depan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment