My Add

Saturday, 23 November 2013

Hudud boleh dilaksana di Kelantan - Nik Aziz

 NIK ABDUL AZIZ

SHAH ALAM, JUMAAT, 22 November, 2013: Meskipun pelaksanaan hukum hudud di Kelantan masih tertangguh selama 23 tahun, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap yakin undang-undang syariah itu boleh dilaksanakan dengan sokongan semua pihak.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, ini memandangkan sudah ada puak-puak tertentu memberi sokongan terbuka walaupun sebelum ini hanya berdiam diri.

"Walaupun saya uzur, tetapi jiwa saya sedang mengecapi kebahagiaan hidup sekarang ini kerana masalah hudud telah disokong oleh orang-orang yang melawannya.

"Hudud dapat dilaksanakan dengan sokongan bersama. Sekarang ini timbul puak-puak tertentu yang memberi sokongan terbuka yang dulunya senyap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Tahunan parti itu Kali Ke-59, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau sebelum itu menyerahkan momento dinar dan dirham untuk dibida bermula pada harga RM10,000 sempena muktamar itu dan nilai yang diperoleh akan disumbangkan kepada parti tersebut.

Baru-baru ini, Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad menyatakan bahawa Mahkamah Syariah Kelantan sudah bersedia melaksanakan enakmen itu yang dibentuk pada tahun 1993 bila-bila masa sekiranya Kerajaan Pas Kelantan mahu menguatkuasakannya.

Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah memberikan alasan bahawa persediaan untuk melaksanakan hukum hudud setakat ini hanya terhad kepada soal infrastruktur semata-mata sebaliknya dalam soal perundangan, masih banyak perlu dilakukan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment