Pas sokong pelaksanaan hudud di Kelantan
SHAH ALAM, JUMAAT, 22 November, 2013: Pas hari ini memberi sokongan penuh terhadap usaha untuk menguatkuasakan hukum hudud di Kelantan sejajar dengan kesediaan Mahkamah Syariah negeri berkenaan untuk melaksanakan undang-undang Islam itu.
Walau bagaimanapun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap menyalahkan Kerajaan Pusat atas kegagalan kerajaan Kelantan menguatkuasakan undang-undang itu sehingga sekarang walaupun telah lama diluluskan.
Beliau mendakwa, Kerajaan Pusat telah menghalang pelaksanaan undang-undang tersebut dengan menggunakan mahkamah.
"Sudah tentu kita menyokong segala usaha kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Islam dengan sepenuhnya.
"Walaupun mereka menghadapi kengkangan dan masalah iaitu campur tangan yang terlalu ketara daripada kerajaan (Pusat)," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan Pas ke-59 di Stadium Malawati di sini hari ini.
Ditanya mengenai keengganan DAP yang sehingga kini enggan menerima pelaksanaan hukum hudud Abdul Hadi berkata, pemahaman akan terus dilakukan tetapi secara dialog dalaman.
"Syariat Islam sendiri tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam. Disebabkan tiada paksaan, kita tidak boleh mengharamkan arak kepada mereka (orang bukan Islam). Itu hak mereka.
"Daging babi haram bagi orang Islam tetapi dibolehkan dalam kalangan orang bukan Islam. Kita tidak boleh paksa mereka," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan Abdul Hadi berkata, dialog dengan DAP mengenai pelaksanaan syariah Islam telah diadakan sejak 1990-an
"DAP hadir. Yang tidak hadir ialah UMNO. Itu sangat mendukacitakan kita, katanya lagi.
Kata Abdul Hadi, DAP memberikan pandangan yang mereka tidak setuju dengan terang berbanding UMNO yang bertindak menghalang melalui tindakan mahkamah. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment