My Add

Monday, 25 November 2013

Mahfuz nafi prestasi pilihan raya punca kekalahan

SHAH ALAM, AHAD, 24 November, 2013: Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Naib Presiden Pas menerima kekalahan tersebut selain menyatakan keputusan itu perlu dihormati oleh semua pihak.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menafikan keputusan tersebut berkait rapat dengan prestasi Pas pada pilihan raya umum lalu di Kedah.

"Saya sebagai Ahli Parlimen akan teruskan kerja saya dan akan berada di mana-mana. Namun, jika kaitkan keputusan pemilihan ini dengan prestasi pilihan raya umum, saya fikir itu bukan faktornya.'' katanya ketika ditemui di hari terakhir Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-59, di sini, hari ini.

Mahfuz gagal mempertahankan kerusi Naib Presiden yang baru sepenggal disandangnya apabila memperoleh 504 undi. Dua lagi penyandang iaitu bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub dan Ahli Dewan Undangan Negeri Salor, Datuk Husam Musa berjaya mempertahankan kedudukan masing-masing.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah muka baru yang dipilih sebagai Naib Presiden Pas selepas mendapat 849 undi.

Sementara itu, bekas Ahli Jawatankuasa Pas pusat, Datuk Abu Bakar Chik yang turut bertanding jawatan Naib Presiden berkata, beliau telah menjangkakan lebih awal bahawa beliau akan tewas dalam pemilihan itu.

Katanya, sebagai orang lama berada dalam kepimpinan Pas, beliau merasakan pencalonannya sebelum ini antara lain mahu membantu meningkatkan bilangan pengundi Melayu yang dilihat kurang dari segi bilangannya yang dicapai oleh Pas ketika ini.

"Saya berada dalam Pas lebih 30 tahun dan dalam tempoh itu baru sekarang saya bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas

"Namun, melihat daripada keputusan itu, saya merasakan ahli dapat fikir siapa mereka nak pilih untuk menerajui barisan kepimpinan Pas. Ahli memilih mengikut pemikiran mereka," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment