Muslimat tidak disokong ahli Pas sendiri
SHAH ALAM, AHAD, 24 November, 2013: Dewan Muslimat Pas mendedahkan ada calon pilihan raya umum (PRU) yang diwakili dewan parti itu tidak mendapat sokongan daripada ahli Pas sendiri.
Ketuanya, Siti Zailah Mohd, Yusof berkata, apa yang lebih mengejutkan, ada pihak yang 'menghukumkan' haram untuk mengundi calon muslimat.
"Saya mendapat maklumat ada satu, dua kes apabila di DUN (Dewan Undangan Negeri) dan kawasan yang tak mengiktiraf calon muslimat.
"Paling malang, ada yang menyebut haram (mengundi calon) muslimat, ini bercanggah dengan Majlis Syura Ulama, saya berharap perkara ini dapat diselesaikan," katanya semasa sesi penggulungan Muktamar Pas Ke-59 di Stadium Malawati di sini hari ini.
Sementara itu, Siti Zailah berkata, kepimpinan parti di semua peringkat perlu memberi perhatian dan kerjasama kepada muslimat yang juga mempunyai tuntutan menjaga anak dan suami.
"Kita hendak mendapat sokongan yang baik, jadi polisi mesra keluarga ini perlu dilaksanakan di dalam rumah kita dahulu," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, sayap parti itu akan meringkaskan namanya kepada 'Pemuda Pas' bagi mudah mendekati golongan muda.
"Kita juga akan membuka dimensi baru untuk mengadakan program-program wacana yang dapat melibatkan anak muda, kita mahu Pemuda Pas dilihat inklusif dan bukannya eksklusif," katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan muktamar parti itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment