Pas diselar perwakilan sendiri kerana tolak pemimpin Sabah
SHAH ALAM, JUMAAT, 22 November, 2013: Seorang perwakilan di Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di sini, hari ini menyelar kepimpinan parti itu kerana dianggap meminggirkan Sabah.
Perwakilan Pas Kalabakan, Mohd. Fazli Ahmad menyifatkan, Pas pusat menganak-tirikan pemimpin Sabah ketika sesi perbahasan laporan tahunan muktamar.
Menurut Mohd. Fazli sebelum ini nama Timbalan Pesuruhjaya Pas Sabah, Hamzah Abdullah pernah dicadangkan untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, tetapi tidak diterima dengan alasan beliau bekas ahli Parti Bersatu Sabah (PBS).
"Kalau itu yang dijadikan alasan untuk tolak cadangan Sabah tapi yang ada di atas pentas itu, ada juga bekas UMNO," soalnya dalam keadaan beremosi sambil cuba ditenangkan oleh Pengerusi Tetap Pas, Datuk Abu Kassim Abdullah di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, keadaan hampir serupa juga melanda calon-calon dari Sabah yang bertanding dalam pemilihan Dewan Pemuda Pas dan Dewan Muslimat Pas apabila diketepikan perwakilan Semenanjung.
"Apabila pilihan raya selalu cakap Sabah perlu sumbang banyak kerusi, minta kami kerja keras untuk pastikan kita menang besar. Tapi pemimpin kami tidak diiktiraf, tidak diangkat di peringkat Pusat.
"Sedangkan UMNO ada enam orang dalam Majlis Tertinggi dari Sabah termasuk Naib Presiden," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment