Pas sokong cuti mingguan Johor ditukar
SHAH ALAM, SABTU, 23 November, 2013: Pas menyokong penuh pengumuman Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menukarkan cuti mingguan bagi negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu bermula 1 Januari 2014.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, langkah untuk menukarkan cuti mingguan daripada Sabtu dan Ahad itu adalah langkah tepat.
Sokongan kepada titah Sultan Johor itu turut dizahirkan oleh seluruh perwakilan Muktamar Tahunan Pas di Stadium Malawati Shah Alam yang berdiri bagi menyatakan sokongan.
"Pas menyokong titah Sultan Johor untuk mengembalikan cuti mingguan kepada Jumaat dan Sabtu kerana dari zaman penjajah sehinggalah tahun 1994, cuti mingguan Johor adalah Jumaat dan Sabtu," kata Mahfodz ketika membentangkan usul tergempar menjunjung kasih Sultan Johor dalam Muktamar Tahunan Pas di Stadium Malawati hari ini.
Sultan Ibrahim hari ini mengumumkan pertukaran cuti mingguan bagi negeri ini kepada Jumaat dan Sabtu bermula 1 Januari tahun depan.
Pengumuman tersebut diisytiharkan sempena Hari Keputeraan baginda ke-55 dalam Majlis Pengurniaan Pingat di Dewan Jubli Intan, Muar. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment