![]() |
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir (gambar) berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini.
Beliau bagaimanapun berkata, Kelantan berada di tangga keempat selepas Kedah, Perlis dan Negeri Sembilan dalam statistik penghidap diabetes seluruh negara.
"Daripada jumlah itu, sebanyak lima peratus adalah pesakit muda antara usia 18 hingga 30 tahun dan amat membimbangkan.
"Masyarakat seawal usia 18 tahun lagi seharusnya membuat pemeriksaan tahap gula dalam darah di klinik dan hospital sekali gus mencegah komplikasi akibat diabetes seperti penyakit buah pinggang, jantung dan kebutaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Diabetes Sedunia bertema 'Lindungi Masa Depan Kita - Cegah Diabetes' anjuran Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri dan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Katanya, pada setiap tahun juga kira-kira 300 pesakit diabetes di negeri ini terpaksa dipotong kaki manakala 1,000 lagi diberi rawatan laser pada mata kerana diabetes telah merosakkan penglihatan mereka.
Yang turut hadir Penaung PDM Kelantan, Datuk Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra; Pengerusi PDM Kelantan, Prof. Datuk Dr. Wan Mohamed Wan Bebaker dan Setiausaha PDM Kelantan, Prof. Dr. Ab. Aziz Al-Safi Ismail.
Dr. Ahmad Razin berkata, selain faktor baka dan pemakanan, gaya hidup yang semakin selesa akibat kemajuan teknologi menyebabkan masyarakat masa kini kurang melakukan aktiviti fizikal seperti riadah dan berjalan kaki bagi mengelak diabetes serta masalah obesiti.
Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil makanan atau minuman yang didakwa mampu merawat diabetes kerana pengambilannya boleh mengancam nyawa pesakit.
"Kita sudah membuat ujian terhadap produk-produk alternatif ini dan mendapati pihak pengeluar telah mencampurkannya dengan ubat diabetes dan apabila dicampur-aduk, pesakit sebenarnya tidak mengetahui berapa banyak sepatutnya mereka ambil untuk merawat penyakit diabetes.
"Jika terlebih, pesakit akan alami hipoglisemia atau kandungan gula terlalu rendah dan ini lebih berbahaya serta mengancam nyawa pesakit dan memang sudah ada kes pesakit meninggal dunia akibat kesan produk alternatif.
"Adalah lebih baik untuk pesakit mengambil ubat terkawal di klinik dan mematuhi arahan doktor sepenuhnya yang hanya akan memberi ubat pada kadar yang sepatutnya," kata beliau. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment