![]() |
* PELARIAN Palestin menerima bantuan makanan daripada Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di khemah pelarian di Jenin, Tebing Barat, semalam. - AP |
Pegawai penyelaras PBB berhubung hal ehwal kemanusiaan Palestin, James Rawley berkata, kehidupan 1.7 penduduk Palestin di Gaza semakin teruk berbanding setahun lalu dengan krisis kekurangan minyak dan tenaga elektrik sebagai punca utama.
"Selepas 12 bulan Israel dan Hamas mencapai gencatan senjata dan mengadakan rundingan, situasi Gaza semakin membimbangkan," katanya.
Ketua Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA), Robert Turner berkata, keadaan bertambah buruk dialami oleh penduduk Gaza yang menerima kesan akibat kemusnahan terowong penyeludupan di sempadan Mesir, sejak bekas Presiden Mesir, Mohamed Mursi digulingkan pihak tentera pada Julai lalu.
Jelasnya, penutupan terowong berkenaan menyebabkan kejatuhan dalam hampir semua sektor pembinaan swasta yang turut dikenakan larangan mengimport bahan binaan oleh Israel.
"Penduduk Gaza terperangkap dengan larangan Israel yang turut menyekat bantuan daripada masyarakat antarabangsa, walaupun sepatutnya gencatan senjata membolehkan mereka memperbaiki taraf kehidupan.
"Nilai eksport dari Gaza merudum sebanyak separuh sejak tahun lalu, manakala golongan nelayan dan petani Palestin terus dihalang meraih hasil dari kawasan yang produktif," jelasnya.
Israel mengenakan sekatan laluan darat, udara dan laut ke atas Gaza selepas pergerakan Hamas menahan seorang askar rejim Zionis pada 2006.
Namun, sekatan berkenaan dilonggarkan pada 2010 selepas desakan antarabangsa ke atas Israel kerana melancarkan serangan berdarah ke atas enam buah kapal yang menyertai flotila misi kemanusiaan ke Palestin. - AFP/UTUSAN

No comments:
Post a Comment