Penafian Anwar hanya makan diri
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
KUALA LUMPU, SABTU, 23 November, 2013: Penafian Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhannya terhadap Barisan Nasional (BN) membawa masuk 40,000 pengundi warga Bangladesh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) hanya memakan diri sendiri.
Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, ini kerana bukti tuduhan itu tersebar menerusi rakaman video termasuk laporan media propembangkang sendiri.
"Penafian Ketua Pembangkang itu dilihat sebagai tindakan pemimpin yang tidak bermoral dan layak mendapat gelaran penipu nombor satu di Malaysia.
"Tidak ada asas beliau menafikan perkara tersebut sebab media Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas serta beberapa klip video di laman YouTube telah menyiarkan tuduhan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Anwar dikatakan membuat pusingan U baru-baru ini apabila cuba menafikan pernah membuat tuduhan itu, sebaliknya hanya menyentuh tentang dakwaan membawa pengundi dari luar pada hari mengundi.
Penafian Anwar itu dibuat selepas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menidakkan pembabitan warga Bangladesh dalam proses demokrasi di Malaysia dan menolak dakwaan kononnya 40,000 rakyat negara itu mengundi dalam pilihan raya umum lalu.
Dalam pada itu, Lum Yong berkata, beliau berharap rakyat berwaspada dan berfikiran waras terhadap agenda politik kotor pemimpin pembangkang. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment