Pemuda Pas serius dekati anak muda kembangkan bakat kepemimpinan
KETUA Dewan Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kaiat, 40, telah dipilih menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang baharu dalam pemilihan sayap parti itu Khamis lepas.
Antara langkah awal yang akan dilakukan beliau adalah meringkaskan nama Dewan Pemuda Pas kepada 'Pemuda Pas' untuk mudah mendekati golongan muda.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, KAMIL MASLIH, Suhaizan berkongsi faktor kemenangan beliau dalam pemilihan parti serta aspirasi untuk hala tuju Pemuda Pas.
UTUSAN: Apakah yang menyumbang kepada kemenangan saudara?
SUHAIZAN: Saya telah kemukakan dimensi politik baharu kepada Pemuda Pas yang mana kita melihat keperluan wacana untuk melahirkan pemimpin yang berobjektif. Perkara ini telah dinilai perwakilan dan mendapat maklum balas yang positif. Keduanya, adalah berdasarkan rekod pencapaian saya yang terlibat dalam banyak gerakan rakyat termasuk pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), menolak judi bola sepak dan semakan nama pengundi pos.
Pemilihan Ketua Pemuda Pas berlangsung sengit terutamanya daripada Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kamarulzaman Mohamad, bagaimana saudara melihat pemilihan ini?
Pada saya, persaingan dalam pemilihan adalah amat baik dan dapat mematangkan perwakilan. Kita mahu perwakilan berfikir dan membuat pertimbangan dengan penuh teliti. Apa yang cukup menarik perwakilan sendiri membuat kajian untuk mengenali calon pemimpin mereka dan ini adalah kematangan politik yang amat baik.
Apakah agenda yang akan diperjuangkan Pemuda Pas di bawah kepemimpinan saudara?
Agenda utama saya adalah mendekati anak muda. Kita mahu jadikan Pemuda Pas sebagai inklusif dan bukannya eksklusif. Kita juga mahu mengembangkan bakat-bakat kepemimpinan anak muda. Sehubungan itu, kita meringkaskan nama Dewan Pemuda Pas kepada 'Pemuda Pas' agar kita dapat lebih dekat dengan anak muda.
Ramai pihak memperkatakan mengenai adanya pertembungan antara golongan ulama dengan profesional, boleh saudara ulas?
Itu adalah tafsiran pihak luar yang membahagikan Pas berdasarkan latar belakang individu yang berpendidikan agama dengan golongan berpendidikan barat. Hakikatnya, perwakilan tidak melihat perbezaan itu sebaliknya memilih barisan kepemimpinan berwibawa yang mampu mengangkat perjuangan. Saya juga melihat barisan kepimpinan yang dipilih dalam muktamar parti ini adalah selari dengan kehendak rakyat Malaysia.
Tahaluf siyasi Pas dengan pakatan pembangkang juga menjadi topik hangat dalam muktamar. Apakah pendirian Pemuda Pas?
Sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama, kita akan terus melaksanakan tahaluf siyasi dan Pas akan terus bersama pakatan pembangkang. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment