![]() |
* PARA perwakilan yang menghadiri hari terakhir Muktamar Pas Ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam. |
Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, tahaluf siyasi atau kerjasama politik itu adalah satu kejayaan Pas yang tidak dapat dilakukan mana-mana parti Islam di dunia.
"Masalah yang berlaku kadang-kadang tahaluf siyasi ini dibincangkan di kedai kopi sehingga bercanggah dengan prinsip jamaah," katanya yang mewakili Majlis Syura Ulama Pas dalam sesi penggulungan Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di Stadium Malawati di sini hari ini.
Menurut Nik Zawawi, tahaluf siyasi akan diteruskan oleh Pas selagi tidak melanggar mana-mana garis panduan yang ditetapkan.
"Alhamdulillah, menerusi tahaluf siyasi ini, Allah kurniakan kejayaan dan Insya-Allah, Pas tidak akan mengkhianati sesiapa termasuk rakan-rakan parti pakatan," katanya.
Dalam pada itu, menurut Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad, usul yang dikemukakan Dewan Ulama Pas untuk kajian semula tahaluf siyasi bukan bermaksud Pas perlu keluar dari pakatan pembangkang.
"Tujuan kajian semula ini adalah untuk menambah baik kalau ada mana-mana kelemahan bukan sahaja dari segi politik tetapi juga dari segi rukun dan dasar," katanya yang mewakili Dewan Ulama Pas dalam sesi penggulungan Muktamar Pas itu.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menafikan parti itu merupakan alat atau barua kepada DAP meskipun isu tersebut dibangkitkan sendiri oleh perwakilan Pas Wilayah Persekutuan semalam.
Bagi mewajarkan hujah beliau itu Husam mengambil contoh kerusi Parlimen Temerloh yang sebelum ini ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi kemudian diserahkan kepada Pas pada pilihan raya umum lalu.
"Siapa kata Pas alat DAP? Siapa kata Pas alat kepada PKR? Kalau kita alat kepada DAP dan PKR tak mungkin kerusi Temerloh diserahkan kepada Pas dan wakil kita, Nasrudin Hassan menang pilihan raya umum lalu.
"Kita ada agenda kita sendiri. Kita ada impian besar yang mahu dicapai," katanya semasa membuat ucapan penggulungan pada muktamar tersebut.
Semalam, wakil Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad membangkitkan isu Pas sebagai barua DAP serta pembonceng kepada pakatan pembangkang dan mendesak pucuk pimpinan parti menanganinya.
Khamis lalu, wakil Pulau Pinang, Mohd. Raduan Ramli mengesahkan kemelut Pas negeri dengan kepimpinan Lim Guan Eng berpunca daripada tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu menjadikan mereka sebagai boneka.
Dalam pada itu, Husam turut menafikan dakwaan berlaku pertembungan antara kem ulama dan kumpulan profesional dalam Pas termasuk pada pemilihan kali ini
Beliau sebaliknya menyalahkan media perdana kononnya bertanggungjawab memutar belit isu sehingga menimbulkan suasana seperti berlaku pertembungan antara kem ulama dan kumpulan profesional dalam Pas. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment