Perlu bersama Pakatan Rakyat
SHAH ALAM, AHAD, 24 November, 2013: Pas perlu lebih mempercayai rakan-rakan daripada pakatan pembangkang dan tidak sekali-kali menerima persahabatan daripada UMMO.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, Pas mesti terus berpegang kepada tahaluf siyasi pakatan pembangkang yang telah banyak membuahkan kejayaan politik kepada Pas.
"Jangan lupa kita pernah menggempur pemikiran assobiyah dan perkara itu juga pernah menjadi tajuk Muktamar Pas.
"Slogan Melayu Muafakat, Islam Selamat adalah slogan yang beracun kerana Islam adalah untuk semua," katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan Muktamar Pas Ke-59 di Stadium Malawati di sini hari ini.
Menurut Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, Pas tidak boleh bersendirian untuk menghadapi pilihan raya umum dan amat memerlukan rakan-rakan pakatan pembangkang.
"Kekuatan Pas adalah bersama Pakatan Rakyat, kalau Pas berjuang secara sendirian, sudah tentunya jajahan kita tidak lebih daripada Rantau Panjang (Kelantan) sehingga Kemaman (Terengganu).
"Di bawah Pakatan Rakyat, jajahan kita melebar sehingga ke Selangor dan Insya-Allah sampai ke Johor. Kalau Johor kita dapat tawan, nadi UMNO akan tamat di Malaysia," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali meminta, pemimpin dan ahli parti itu supaya tidak hilang keyakinan terhadap kedudukan serta peranan parti itu dalam kerjasama pakatan pembangkang meskipun wujud pelbagai label seperti 'kuda tunggangan', 'penumpang' dan sebagainya.
Sebaliknya, beliau mahu mereka memberikan kepercayaan dan yakin dengan kerjasama tersebut memandangkan Pas turut terlibat dalam setiap dasar serta keputusan yang dibuat menerusi Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR dan DAP.
"Dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Pas diwakili oleh Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden serta tiga wakil masing-masing daripada Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat," katanya.
Pada masa sama, Mustafa menjelaskan kesemua wakil kepimpinan Pas yang berada dalam majlis pimpinan itu selain bersama-sama rakan mereka dalam pakatan pembangkang merangka dasar yang dibawa parti itu. -UTUSAN
No comments:
Post a Comment