PM adakan mesyuarat khas Bajet 2014
IPOH , SABTU, 23 November, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan mesyuarat khas dengan semua menteri dan ketua-ketua jabatan kerajaan pada 11 Disember ini bagi memperhalusi Bajet 2014 supaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pada mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri itu nanti, semua menteri, Ketua Setiausaha Kementerian serta ketua-ketua jabatan diminta membentangkan secara terperinci perancangan mereka hasil daripada peruntukan yang diberikan dalam Bajet 2014.
Menurut beliau, pertemuan itu membuktikan keseriusan kerajaan dalam memastikan segala peruntukan dan perancangan untuk Bajet 2014 dapat dilaksanakan dengan betul dan mencapai sasarannya.
"Perdana Menteri sendiri akan mendengar secara terperinci daripada semua menteri tentang perancangan kementerian masing-masing umpamanya bila program akan dilaksanakan, apa masalahnya dan bila sesuatu program itu akan siap.
"Perdana Menteri juga akan mendapatkan penerangan secara terperinci tentang pelaksanaan program setiap kementerian kerana kita tidak mahu lagi peruntukan dalam bajet tahunan diserahkan kepada setiap kementerian begitu sahaja seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Medan Selera Pekan Chemor dekat sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Husni berkata, keputusan agensi penarafan antarabangsa, Moody's Investors Service menaikkan penarafan penerbit dan bon kerajaan Malaysia kepada positif daripada stabil baru-baru ini adalah hasil daripada usaha kerajaan yang serius untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara.
Beliau berkata, ini juga membuktikan agensi antarabangsa itu yakin terhadap ekonomi Malaysia selepas langkah kerajaan mengurangkan subsidi menerusi rasionalisasi subsidi baru-baru ini.
Menurutnya, pengiktirafan agensi berkenaan juga memberikan persepsi yang baik dalam pertumbuhan ekonomi negara.
"Kita percaya sasaran pertumbuhan ekonomi negara antara 4.5 peratus dan lima peratus tahun ini boleh dicapai kerana pada suku tahun pertama, suku tahun kedua dan suku tahun ketiga, ekonomi kita mencapai perkembangan 4.5 peratus.
"Pada suku tahun keempat, kita jangkakan mencapai perkembangan lebih daripada lima peratus, jadi sasaran di antara 4.5 hingga lima peratus tahun ini mampu kita capai," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment