My Add

Saturday 21 July 2012

12,000 rumah tradisi dibaiki



*NAJIB Tun Razak bersama tuan rumah Kamarun Helan Jaafar Sidek (empat kanan) melihat papan tanda penerima bagi program Skim Bantuan Kasih Felda di Kampung Air Hitam di Jerantut, Pahang, semalam. Memerhatikan ialah Mohd. Isa Abdul Samad (tiga kanan) dan Ahmad Maslan (dua kanan). - BERNAMA


Oleh HERMAN HAMID dan ALI MAHMOODJERANTUT, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sebanyak 12,000 buah rumah di kampung-kampung tradisional sekitar 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara bakal dibaik pulih menerusi peruntukan RM60 juta di bawah Skim Bantuan Kasih Felda.

Perdana Menteri yang melancarkan program berkenaan di Felda Padang Piol di sini hari ini berkata, menerusi fasa pertama program berkenaan, sebanyak 4,000 buah rumah akan dibaiki tahun ini melibatkan peruntukan RM5,000 setiap unit mengikut garis panduan ditetapkan Yayasan Felda.

"Kita akan cuba percepat program ini supaya lebih ramai dapat nikmatnya kerana jumlah yang diumum hari ini adalah permulaan dan jika ada rezeki lebih kita akan tambah lagi.

"Ini kerana falsafah kita adalah untuk membolehkan kejayaan Felda tidak hanya dirasai peneroka sebaliknya dikongsi rakyat teramai," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Program Skim Bantuan Kasih Felda merupakan ilham Perdana Menteri yang diumumkan pada Program Sejahtera Peneroka sewaktu pengumuman durian runtuh di Jengka Lapan, dekat sini, pada 8 Mei lalu.

Sementara itu, Najib berkata, Skim Bantuan Kasih Felda dirancang kerana kerajaan sedar di sekeliling tanah rancangan masih mempunyai kampung-kampung lama dan tradisi yang mana kehidupan sebahagian penduduknya tidak sebaik peneroka di tanah rancangan.

Namun, katanya, kejayaan yang dikecapi peneroka hari ini tidak harus menimbulkan rasa iri hati mana-mana pihak kerana mereka telah berjuang menghadapi segala cabaran bergelar peneroka selama berpuluh-puluh tahun.

"Kalau hari ini peneroka dapat rezeki lebih, kita jangan iri hati. Peneroka telah berjuang separuh abad, kalau tak tabah, ada lari balik kampung. Yang lari dari Felda kini menyesal seribu kali apabila pendapatan bersih bulanan peneroka mampu cecah RM5,000. Itu tak termasuk dividen Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan insentif lain termasuk durian runtuh.

"Tunggu seminggu dua lagi, duit raya saya jamin dapat. Bonus pun dapat. Duit raya siapa setia bersama Felda dia dapat lebih. Cuma yang buat saya darah mendidih apabila yang fail injunksi (halang penyenaraian), dia dulu pergi ambil duit," jelasnya.

Dalam ucapannya, Najib turut mengingatkan peneroka mengenai kepentingan memilih kerajaan yang mampu memastikan dasar yang diperkenalkan mempunyai kesinambungan bagi membolehkan misi dan visi yang ditetapkan dapat dicapai.

Katanya, ia dapat dilihat menerusi kejayaan Felda yang mana banyak negara termasuk di benua Afrika cuba meniru konsepnya namun gagal kerana di negara berkenaan tidak mempunyai kestabilan politik sehingga menyukarkan kesinambungan dasar.

"Nak sampai ke sini kena separuh abad baru kita dapat lihat gagasan Felda. Kalau asyik ubah macam mana kita nak dapat.

"Sebab itu kita mesti ada kesinambungan dalam perjuangan dengan syarat kita ada kerajaan yang tahu tadbir, ada misi dan semangat daya juang dari dahulu sampailah hari ini, yang mana kita tak jemu-jemu berjuang untung nasib rakyat," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment