My Add

Thursday 12 July 2012

15 pakar sains sukan bantu kontinjen Malaysia di London

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 Julai, 2012: Institut Sukan Negara (ISN) menyediakan satu pasukan 15 pakar sains sukan untuk memberikan perkhidmatan perubatan kepada kontinjen negara yang akan bertanding di Sukan Olimpik London pada hujung bulan ini. 

Ketua Eksekutifnya, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, pasukan yang akan diketuainya sendiri terdiri daripada pakar pemakanan, fisiologi senam suaian fizikal, analisis sukan, teknologi sukan dan perubatan khas.

 "Sepuluh daripada pakar tersebut akan ditempatkan bersama kontinjen di Perkampungan Sukan dan selebihnya ditempatkan di sekretariat luar," katanya di sini, hari ini. 

Dr Ramlan berkata, seramai lapan pakar sains sukan akan berlepas ke London hari ini bersama skuad badminton yang akan menyambung latihan mereka di Bath University. 

Bagaimanapun, pakar tersebut kemudian akan ditempatkan di Perkampungan Sukan dan di sekretariat luar bagi memberi perkhidmatan kepada 30 atlit Malaysia yang akan bersaing di temasya sukan terbesar dunia itu. 

Skuad badminton yang diketuai pemain perseorangan nombor dua dunia, Datuk Lee Chong Wei akan berkampung selama 13 hari di Bath University, yang terletak di Somerset, 156km dari London sebelum berlepas ke ibu kota UK pada 25 Julai. 

Sukan Olimpik London akan bermula secara rasmi dari 27 Julai hingga 12 Ogos. 
Dr Ramlan berkata, sebaik temasya tersebut bermula, satu pasukan yang terdiri daripada lima pakar ISN akan ditempatkan bersama skuad badminton sementara acara berbasikal mendapat khidmat empat pakar. 

Dua pakar akan tempatkan bersama atlet memanah sementara sekurang-kurangnya seorang pakar akan ditempatkan bersama atlit menembak, olahraga, akuatik, pelayaran dan lawan pedang. 

"Penempatan pakar ISN bersama atlit tersebut bagaimanapun tertakluk kepada keperluan," katanya. 

Mengulas keperluan perubatan bagi penembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi yang usia kandungannya ketika beraksi di London ialah lapan bulan, lima hari, Dr Ramlan berkata, beliau sendiri akan memantau keadaan kesihatan atlit itu ketika acara menembak berlangsung. 

Nur Suryani akan berlepas ke London pada 22 Julai, manakala acara 10m Air Rifle yang disertainya akan berlangsung pada 28 Julai. 

Dr Ramlan berkata, ISN akan mendapatkan bantuan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London bagi menyediakan kemudahan sewajarnya jika penembak negara itu bersalin ketika di London. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment