My Add

Friday 20 July 2012

160 ahli Pas sertai UMNO

*JAMIL Khir Baharom (dua dari kiri) diiringi Dali Hussin (kiri) menerima borang keahlian daripada Raja Ali Raja Mat (empat dari kiri) pada Majlis Perasmian Gelanggang Seni Silat 1Malaysia di Kampung Babong, Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU, KHAMIS, 19 Julai, 2012: Setelah sekian lama berasa tertipu dengan kata-kata manis dan janji yang tidak ditunaikan seramai 160 bekas ahli dan penyokong tegar Pas bertindak menyertai UMNO.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
Kesemua mereka yang berasal dari Kampung Babong, Pulau Melaka dan Kampung Hujung Tanjung di Parlimen Pengkalan Chepa itu sepakat menyokong perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dilihat sentiasa berjuang membela nasib rakyat negara ini.

Kampung Babong dan Kampung Hujung Tanjung terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Borang permohonan keahlian mereka diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sempena kehadiran beliau pada Majlis Perasmian Gelanggang Seni Silat 1Malaysia dan Jamuan Rakyat di Kampung Babong, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa yang juga Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Dali Hussin.

Menurut Raja Ali Raja Mat, 45, dia yang tidak pernah mengundi parti selain Pas sejak kali pertama membuang undi, kini menyedari pilihannya itu adalah salah.

"Memang sejak mula mengundi pada usia 21 tahun saya tidak pernah ambil tahu siapa pun wakil parti lain, yang saya tahu cuma Pas.

"Sokongan saya tidak pernah berubah tetapi akhirnya saya tidak mendapat apa-apa manfaat sedikit pun selain janji mereka, jadi kenapa masih perlu bersama Pas sedangkan saya tidak lagi yakin dengan apa yang mereka boleh lakukan," katanya yang berasal dari Kampung Hujung Tanjung.

Sementara itu, Che Awadi Che Su, 31, dari Kampung Babong pula berkata, dia memilih menjadi ahli UMNO selepas membuat pemerhatian dan perbandingan antara parti yang ada di negara ini.

"Soal sokongan memang keluarga saya menyokong Pas sejak lama dulu, tetapi hasil pemerhatian saya mendapati UMNO adalah parti terbaik untuk rakyat.

"Sebab itulah saya bersama rakan-rakan memilih untuk bersama UMNO dan insya-Allah selepas ini kesemua ahli keluarga saya juga akan melakukan perkara sama," jelasnya.

Pendapat tersebut dikongsi seorang lagi pengundi muda, Fadzil Ismail, 36, yang mengakui tidak pernah merasai sedikit pun bantuan daripada pemimpin Pas sepanjang hidupnya.

"Mungkin ada orang lain yang dapat, tetapi bagi saya secara jujurnya saya tidak pernah menikmati apa pun bantuan daripada wakil rakyat Pas.

"Setiap kali ada bantuan diterima, ia adalah yang diberikan Kerajaan Pusat, maka saya tahu inilah parti yang patut disokong dan hari ini kami menjadi ahli UMNO secara sah," katanya.

Sementara itu, Jamil Khir yang juga bapa angkat kepada UMNO Pengkalan Chepa pada sidang akhbar kemudiannya melahirkan rasa terharu dengan sokongan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment