My Add

Friday 20 July 2012

2 lelaki cedera ditembak lari dari sekatan polis

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Julai, 2012:: Dua lelaki cedera ditembak apabila cuba melarikan diri daripada ditahan polis di Plaza Tol Sunway dari arah Puchong, dekat sini, malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan selepas mereka dan seorang lagi rakan yang menaiki kereta Honda Civic bertindak mengundurkan kereta sehingga merempuh kenderaan yang dinaiki anggota polis.

 Beliau berkata, dua daripada tembakan terkena cermin hadapan, mencederakan bahu kiri pemandu, manakala satu lagi tembakan yang mengenai pintu depan turut mencederakan bahagian pinggang penumpang di sebelahnya.
"Ketika kejadian, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang sedang melakukan rondaan dan terlihat sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di Bandar Kinrara. 

"Polis mengekori kereta itu sehingga ke Plaza Tol Sunway. Bila terlihat sebuah lagi kereta peronda polis cuba menghalang, suspek bertindak merempuh kenderaan di hadapan sebelum berundur dan menghentam kenderaan anggota kami, menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian. 

Yahaya berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki ketiga-tiga suspek berumur antara 16 dan 24 tahun itu dipercayai dicuri di Kelana Jaya pada 4 Jun berdasarkan nombor pendaftaran palsu yang digunakan, manakala pemandunya mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan samun dan curi kereta. 

"Dua suspek yang terkena tembakan adalah penganggur manakala seorang lagi rakan mereka didapati masih bersekolah," katanya dan menambah tiada sebarang senjata atau barang kes dijumpai di dalam kenderaan itu.
Suspek yang cedera berada dalam keadaan stabil di Hospital Serdang dan ketiga-tiga mereka akan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya  - BERNAMA

No comments:

Post a Comment