My Add

Friday 13 July 2012

38,500 unit rumah PPR akan dibina dalam tempoh 3 tahun

GEORGETOWN, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Kerajaan akan membina sebanyak 38,500 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, berkata rumah PPR itu akan dibina di semua negeri yang sangat memerlukannya dan keutamaan akan diberikan kepada negeri Sabah dan Sarawak. 

"Setakat ini kita sudah siap bina 54,600 unit rumah PPR di seluruh Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke-10 iaitu sehingga 2015. Matlamat kita akan bina lagi 38,500 unit di bawah program ini. 

"Memang banyak yang sudah dibina. Kita ada bina di Kuala Lumpur, Selangor dan negeri seperti Sabah dan Sarawak yang amat memerlukan lagi rumah di bawah PPR," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Star Property Fair 2012, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, PPR adalah antara inisiatif kerajaan persekutuan dalam membantu rakyat yang berpendapatan rendah memiliki rumah. 

Chor berkata, rumah PPR itu akan disewakan kepada rakyat yang pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan dan mereka hanya perlu membayar sewa sebanyak RM124. 

Katanya, rumah PPR itu dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air dan projek perumahan itu akan dilengkapi dengan kemudahan dewan orang ramai, surau dan lima unit rumah kedai satu tingkat. 

Beliau juga menggesa pemaju perumahan yang membina rumah mewah supaya turut membina rumah mampu milik dan rumah kos rendah untuk rakyat. 

Chor juga mengingatkan golongan muda yang baru memasukki dunia pekerjaan supaya membeli rumah kos sederhana atau rumah kos rendah bagi memulakan pembelian unit perumahan. 

"Saya selalu mengingatkan generasi muda bahawa apabila mereka mula bekerja, mereka tidak boleh berharap sama seperti generasi terdahulu lakukan. Ia bermakna ketika pembangunan adalah murah, rumah lebih murah. 

"Sekarang berdasarkan perubahan yang berlaku di Malaysia dan dunia, semuanya (kos) sudah meningkat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment