My Add

Thursday 26 July 2012

40 individu terkaya Singapura miliki RM190 bilion

SINGAPURA, KHAMIS, 26 Julai, 2012: Empat puluh orang paling kaya di Singapura kini secara terkumpul memiliki aset bernilai AS$59.4 bilion (AS$1=RM3.18) meningkat AS$5 bilion.

Mengikut senarai orang paling kaya di Singapura yang diterbitkan oleh Forbes Asia, pasangan adik-beradik Robert dan Philip Ng, anak kepada pengasas Far East Organization, mendiang Ng Teng Fong, menduduki tangga teratas dengan harta bernilai AS$9.2 bilion iaitu meningkat AS$300 juta berbanding tahun lalu.

Far East Organization bersama Sino Group, syarikat sepemunya berpangkalan di Hong Kong, adalah antara kumpulan hartanah terbesar di Asia dengan jumlah dagangan tahunan terkumpul sebanyak AS$5.5 bilion. 

Keluarga tokoh perbankan, mendiang Khoo Teck Puat, kekal di tangga kedua dengan AS$6.7 bilion. Mendiang Khoo meninggalkan hartanya kepada 14 anak-anaknya pada 2004. 

Bagaimanapun, keluarganya masih menguasai kepentingan dalam Goodwood Group of Hotels di Singapura tetapi menjual pegangan dalam Standard Chartered Bank pada 2006 dengan harga anggaran AS$4 bilion. 

Di tangga ketiga ialah Pengerusi United Overseas Bank (UOB), Wee Cho Yaw, yang memiliki aset bernilai AS$4.7 bilion, peningkatan AS$500 juta berbanding tahun lalu. 

Terdapat lapan muka baru yang tersenarai tahun ini dan antaranya, Eduardo Saverin, pengasas bersama Facebook, di tangga kelapan dengan aset bernilai AS$2.2 bilion. 

Saverin, pemuda berusia 30 tahun kelahiran Brazil itu, menetap di Singapura sejak 2009 dan sudah melabur dalam syarikat bayaran atas talian, Netswipe. 

Beliau melepaskan taraf kerakyatan Amerika Syarikat tahun lalu. 

Taikun hartanah, Raj Kumar dan anaknya, Kishin RK, dengan aset bernilai AS$1.5 bilion di tangga ke-11 dan adik Raj Kumar, Asok Kumar Hiranandani di tangga ke-19 dengan AS$910 juta. 

Usahawan kelahiran India, Bhupendra Kumar Modi, kini rakyat Singapura, menduduki tangga ke-23 dengan aset bernilai AS$755 juta, pemilik Hotel 81, Choo Chong Ngen di tangga ke-25 (AS$690 juta) dan pengusaha hotel Michael Kum di tangga ke-26 dengan memiliki aset bernilai AS$670 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment