My Add

Thursday 26 July 2012

Terengganu taja ibu bapa atlit ke London

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 26 Julai, 2012:: Atlit dari Terengganu yang akan mewakili negara di Sukan Olimpik London, akan turut ditemani sama ada ibu atau bapa masing-masing, hasil tajaan kerajaan negeri.

Atlit berkenaan ialah empat atlit berbasikal iaitu Adiq Husaini Othman, Amir Mustafa Rosli, Fatihah Mustafa dan Azizul Hasni Awang. Dua orang lagi adalah atlit memanah iaitu Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim. 

"Ini sebagai suntikan semangat kepada atlit berkenaan dalam mengejar kejayaan dan mencipta nama di kejohanan itu," kata Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Zainal Abidin Hussin, hari ini.

Beliau berkata, ibu bapa atlit berkenaan berangkat ke London secara berasingan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.

"Kumpulan pertama berlepas malam tadi dan akan berada di sana sehingga 4 Ogos manakala rombongan kedua akan bertolak pada 1 Ogos dan pulang pada 8 Ogos," katanya.

Zainal Abidin berkata, kerajaan negeri turut menghantar jurulatih lumba basikal Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan. 

"Kerajaan negeri memberi penghormatan kepada Syed Mohd Hussaini kerana kejayaan cemerlang beliau melatih atlit dalam Sukma 2012," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment