My Add

Wednesday 11 July 2012

4,938 pekerja hilang upaya kekal kembali bekerja

KUANTAN, RABU, 11 Julai, 2012: Seramai 4,938 individu yang terbabit dalam kemalangan dan hilang upaya kekal berjaya kembali ke alam pekerjaan menerusi program "Return To Work" (RTW).

Timbalan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Dr Mohamed Azman Aziz Mohammad berkata, 59 peratus atau 2,792 individu yang hilang upaya kekal itu mendapat pekerjaan sama dengan majikan yang sama.

"Manakala selebihnya mendapat pekerjaan berbeza dengan majikan yang sama atau pekerjaan sama tetapi majikan lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemulihan dan Pengurusan Hilang Upaya Perkeso bersama Hospital dan Klinik Kesihatan di Pahang, di sini hari ini.

Beliau berkata, sejak program RTW dilancar pada tahun 2007, seramai 7,363 telah mendaftar dengan Perkeso, dan 67 peratus daripada jumlah itu berjaya kembali ke alam pekerjaan.

Mohamed Azman berkata, program RTW itu akan terus dipertingkat menerusi kerjasama dengan pihak hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.

"Melalui cara itu Perkeso akan dapat bertindak melalui 5M iaitu mengesan, memulih, memaksimumkan fungsi anggota badan, meminimumkan hilang upaya dan mempercepatkan proses tuntutan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment