My Add

Wednesday 11 July 2012

SAM bantah projek industri besi dan gas di Tanjung Hantu

GEORGE TOWN, RABU, 11 Julai, 2012 Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah cadangan pembangunan projek perindustrian kilang besi dan gas di Tanjung Hantu, Manjung, Perak kerana ia akan memusnahkan kawasan semula jadi darat dan pesisiran pantai yang telah diwartakan sebagai kawasan terpelihara.

Presiden SAM, S.M Mohamed Idris berkata, pembinaan kilang besi dan keluli serta loji membekal gas cecair asli (LNG) oleh beberapa buah syarikat swasta di kawasan itu juga bercanggah dengan Rancangan Fizikal Negara (RFN) kerana ia merupakan satu-satunya tapak pendaratan penyu di Perak.

"Kawasan Tanjung Hantu dan persekitarannya boleh dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap Satu, iaitu kawasan pemeliharaan yang tidak dibenarkan pembangunan dan lain-lain guna tanah kecuali pelancongan dengan kebenaran," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kawasan Tanjong Hantu diwartakan sebagai hutan simpan kekal dan ia berdekatan kawasan Hutan Simpanan Dara (VJR) yang dijadikan kawasan penyelidikan khususnya bagi tujuan pendidikan.

Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri Perak telah memansuhkan pewartaan hutan simpan kekal di beberapa bahagian dalam kawasan hutan itu bagi kepentingan projek ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment