My Add

Thursday 5 July 2012

83 pemandu teksi Kota Tinggi terima baucar tayar

*SYED Hamid Albar (tengah, barisan belakang) bersama sebahagian penerima baucar subsidi tayar teksi di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini
KOTA TINGGI, RABU, 04 Julai, 2012: Seramai 83 pemandu teksi di daerah ini menerima baucar bernilai RM520 seorang untuk menggantikan empat tayar di bawah program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma).

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, mereka ialah kelompok pertama menerima baucar subsidi selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada himpunan terbesar pemandu teksi di Bukit Jalil baru-baru ini.

Menurutnya, para penerima merupakan sebahagian daripada 100 permohonan awal yang diterima daripada Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Daerah Kota Tinggi (PKPKSDKT).

"Dengan baucar ini, pemandu teksi boleh mendapat satu set tayar percuma di 300 pusat servis tayar buatan Malaysia yang dikenal pasti.

"Pemberian subsidi itu membuktikan keikhlasan kerajaan demi meringankan beban sara hidup pemandu teksi, sekali gus memastikan keselamatan perjalanan mereka dan penumpang," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKPKSDKT Ke-39 di Dewan Dhasuki, Sekolah Agama Bandar Kota Tinggi di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azhar Ahmad; Ketua Bahagian Pengangkutan Awam Jalan SPAD, Zamri Mahmud dan Pengerusi PKPKSDKT, Abu Bakar Abdullah.

Seorang pemandu teksi, S. Marapaie, 58, berkata, bantuan itu dapat meringankan bebannya ekoran kos penyelenggaraan kenderaan yang semakin meningkat dan menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang.

"Saya menyokong penuh inisiatif bantuan TR1Ma kerana ia dapat meringankan beban pemandu teksi yang meraih pendapatan tidak menentu," kata bapa kepada tiga orang anak dari Taman Sri Lalang dekat sini.

Rakannya, Ismail Mohamad, 59, turut gembira dan terharu atas keprihatinan kerajaan dalam membela nasib pemandu teksi di seluruh negara.

"Bantuan itu menyuntik semangat kami untuk bekerja lebih gigih, selain dapat memastikan keselamatan penumpang lebih terjamin," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment