My Add

Thursday 5 July 2012

Azizan enggan pecat Rektor Kuin

MB Kedah: Rektor Insaniah tidak perlu letak jawatan, Insaniah tiada masalah

 Oleh JAMLIAH ABDULLAH
ALOR SETAR, RABU, 04 Julai, 2012: Di sebalik pelbagai desakan agar Rektor Kolej Universiti Insaniah (KUIN) meletak jawatan atau dipecat ekoran kegagalannya mengendalikan pelbagai isu yang timbul, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tetap mempertahankannya.

Menurut Azizan, rektor terbabit, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman merupakan bekas dekan fakulti ekonomi dan pernah menjadi timbalan rektor sekali gus layak memimpin dan membangunkan Kuin.

Lagipun, katanya, pelantikan Rektor Kuin tersebut juga telah disambung sehingga 2016 untuk memastikan agenda membangunkan Kuin terus berjalan.

"Saya bawa dia, panggil dia dari Kuala Lumpur untuk mengembang dan membawa pembaharuan kepada Kuin.

"Orang suruh dia letak jawatan buat apa, yang suruh itu pemandu sahaja," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Sementara itu kakitangan KUIN pula tidak tragak-agak untuk melaporkan segala kepincangan dalam urusan pentadbiran kepada Kementerian Pengajian Tinggi jika kemelut di institusi itu gagal diselesaikan dengan segera.

Seorang kakitangan KUIN yang enggan dikenali berkata, pihaknya mahu mengatur satu pertemuan dengan Rektor, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman bagi mengadakan sesi dialog.

"Kami sangat berharap Prof. Jamil bersetuju untuk berjumpa dan berbincang dengan kakitangan bagi menyelesaikan masalah ini.

"Jika beliau enggan, pihak kami akan membuat laporan kepada kementerian dan minta mereka datang ke kampus Kuin bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 200 kakitangan Kuin pelbagai lapisan gred jawatan mengadakan demonstrasi bagi mendesak Jamil meletak jawatan kerana hilang kepercayaan kepada beliau yang didakwa mengabaikan kebajikan mereka dan pelajar. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment