My Add

Sunday 15 July 2012

Amuk: Filem ganas boleh dorong tindakan

Amuk: Filem ganas boleh dorong tindakan
  Hushim Salleh
 NORHASPIDA YATIM
SHAH ALAM, AHAD, 15 Julai, 2012: Filem berunsur ganas salah satu faktor yang boleh mendorong seseorang bertindak luar kawalan termasuk mengancam nyawa orang lain.

Pakar Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh berkata, kebanyakan filem yang mengetengahkan unsur keganasan boleh mempengaruhi pemikiran seseorang untuk menterjemahkannya ke dalam dunia realiti.

“Contoh paling mudah ialah, seorang kanak-kanak apabila menonton cerita Superman, akan beranganangan untuk jadi Superman juga malah tingkah lakunya pun dibuat-buat seperti Superman.

“Pengaruh pemikiran begini juga tidak mustahil melanda golongan dewasa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada faktor filem mampu mempengaruhi sifat dan watak seseorang sehingga mampu mendorong melakukan perkara negatif.

Katanya, beliau percaya, tindakan amuk dua individu yang bersenjatakan pedang samurai di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini bukan kerana dipukau atau berada di bawah paras sedar.

“Saya yakin mereka sebenarnya berada dalam keadaan sedar, namun insiden itu berlaku disebabkan perasaan taksub terhadap satu fahaman dan dipengaruhi rasa benci yang begitu mendalam terhadap sesuatu.

“Mereka berada dalam keadaan sedar, tetapi kita lihat seolah- olah mereka di bawah sedar,” katanya.

Menurutnya, sikap ibu bapa yang kurang peka terhadap perubahan anak-anak juga menjadi salah satu punca kepada keadaan ini.

“Ibu bapa perlu masuk kepada ruang rujuk anak-anak dan perlu memahami perubahan emosi, pemikiran dan psikologi anak mereka.

“Anak-anak sekarang lebih suka meluahkan perasaan di laman sosial seperti Facebook, blog dan Twitter, jadi, ibu bapa perlu main langkah bijak dengan memantau laman sosial milik anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah awal yang boleh diambil adalah menerusi solat berjemaah, yang terbukti mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Saat paling berharga dan mengeratkan ikatan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak ialah ketika bersalaman dan berpelukan sebaik selesai menunaikan solat berjemaah. Ini adalah sunah Rasulullah SAW yang kebanyakan daripada kita lupa untuk amalkan,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment